Skip to main content


Aspek amalan gaya hidup sihat dan budaya bersukan adalah antara elemen yang diterapkan dalam kalangan warga Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di samping fokus kepada kemajuan dan pembangunan universiti ini. 

Pusat Sukan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melancarkan Program Amalan Gaya Hidup Sihat UTeM dan Sukan Antara Jabatan  bertempat di Stadium Pusat Sukan UTeM, Kampus Induk, Durian Tunggal, baru-baru ini.

Menurut Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM yang juga menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim dalam ucapan perasmian beliau berkata, Program Amalan Gaya Hidup Sihat yang dilancarkan akan menjadi gelombang kecergasan dalam usaha mewujudkan warga kampus yang membudayakan sukan dan amalan gaya hidup sihat.

Ujar beliau lagi, di samping mengamalkan gaya hidup yang sihat, acara seumpama ini turut mengeratkan silaturrahim dalam kalangan warga kerja UTeM dalam mewujudkan suasana kerja yang ceria dan efisien.

Majlis perasmian program Amalan Gaya Hidup Sihat tersebut turut diserikan dengan pertandingan aktiviti zumba bagi warga universiti yang mana telah berjaya menarik penyertaan lebih 200 orang kakitangan UTeM.

Pertandingan peserta zumba teramai telah dimenangi oleh gabungan Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) bersama Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan (PBPI) dengan penyertaan kakitangan seramai 75 orang peserta.

Majlis telah disempurnakan oleh Dr. Zulkifilie Ibrahim dan turut dihadiri barisan pegawai kanan universiti dan wakil persatuan di samping turut melancarkan Sukan Antara Jabatan bagi tahun 2019.

Sukan Antara Jabatan 2019 bakal mempertandingkan sebanyak 20 acara sukan yang bakal melibatkan seramai 1,200 staf UTeM yang dijangka berlangsung sepanjang tahun 2019 bertujuan untuk membudayakan amalan gaya hidup sihat cergas dalam kalangan warga kerja UTeM.

Turut sama dilangsungkan penyampaian hadiah bagi Sukan Antara Jabatan bagi tahun 2018 yang mana johan keseluruhan telah dimenangi oleh pasukan Pejabat Pembangunan, naib johan oleh pasukan Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan tempat ketiga keseluruhan menjadi milik pasukan Pejabat Ketua Pegawai Maklumat.