Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) turut sama melaksanakan inisiatif bagi menyemarakkan industri pelancongan dalam negeri Melaka menerusi keunikan yang dimiliki oleh universiti awam teknikal berprestij ini.
Peranan UTeM menjayakan inisiatif ini adalah menerusi Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dengan menubuhkan Pusat Edu-Pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Melaka sekaligus menjadikan UTeM sebagai sebuah hab edu-pelancongan di negeri Melaka.
Pusat Edu-Pelancongan UTeM juga dikenali UTourism dijayakan dengan kerjasama rakan kolaborasi dari Kerajaan Negeri Melaka, Jabatan Pendidikan Negeri, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) serta Tourism Malaysia.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM, Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim berkata, penubuhan Pusat Edu-Pelancongan tersebut adalah berasakan kepada kecemerlangan pendidikan dan kesarjanaan yang unggul dengan mengendalikan program pelancongan yang berkualiti ke arah penjanaan pendapatan serta mempromosikan UTeM secara langsung di dalam dan luar negara.
Jelas beliau, Pusat Edu-Pelancongan UTeM turut berobjektif dalam menterjemah hasil penyelidikan UTeM kepada pakej pelancongan bersesuaian yang mana dapat memberi manfaat kepada masyarakat umum di samping membantu memberi kefahaman dan peluang kepada komuniti, masyarakat dan pelancong untuk mempelajari pendidikan di UTeM menerusi kaedah pelancongan yang menarik.
"Senario ini secara langsung telah menzahirkan bahawa UTeM turut memainkan peranan besar dalam menarik lebih ramai bilangan pelancong ke negeri Melaka menerusi universiti ini dan kelebihan yang dimiliki", kata beliau lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, antara pengisian menarik yang ditawarkan di sini adalah aktiviti sukan dalam kampus seperti berkayak di tasik, mengayuh basikal, jungle tracking, flying fox di samping boleh menikmati pengalaman pemanduan kenderaan elektrik dan kayuhan beca elektrik ciptaan penyelidik UTeM di sekitar kampus ini.
Katanya lagi, bertemakan “Learning is fun” para pelancong juga berpeluang menikmati pengalaman menarik mengikuti program-program tambahan lain yang disediakan seperti Kem Arduino Robotik, Kem LEGO Robotik, kursus Asas Pemasangan Solar, pengendalian drone serta banyak lagi aktiviti keusahawanan dan juga pengisian kerohanian lengkap beserta penginapan bermalam dalam kampus UTeM.
Kesemua ini boleh di nikmati dengan pakej yang sangat berpatutan yang mana sasaran pelancong utama adalah pelajar sekolah, pelajar institusi pendidikan tinggi, komuniti usahawan, serta pelancong dari dalam dan luar Negara.
Dengan kewujudan Pusat Edu-Pelancongan ini dijangka akan membantu UTeM dalam menjana pendapatan universiti bagi membantu menampung kos penyelenggaraan infrastruktur di UTeM melalui pelbagai aktiviti-aktiviti keusahawanan pelancongan.