Skip to main content

Dengan keprihatinan dan sikap cakna masyarakat maka Jawatankuasa Khidmat Masyarakat Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melangsungkan program membiayai kelengkapan persekolahan kepada 57 orang pelajar sekolah.

Program Kembali Ke Sekolah 2018 ini meraikan golongan pelajar dari Sekolah Kebangsaan Kesang Tua dan Sekolah Kebangsaan Selandar dengan membelikan mereka pakaian dan peralatan lengkap ke sekolah baru-baru ini.

Program ini turut mendapat kerjasama hebat daripada pihak Pasaraya Mydin dalam menjayakan agenda ini dengan menyediakan ruang dan masa membeli belah serta memberikan potongan harga yang istimewa. 

Menurut Penyelaras Program Dr. Norihan Abdul Hamid berkata, penganjuran program ini telah bermula sejak tahun 2016 lalu dan telah memberikan manfaat kepada lebih 160 orang pelajar daripada 6 buah sekolah di sekitar Melaka.

Katanya, peruntukan penajaan kelengkapan persekolahan sebanyak RM 150 kepada setiap pelajar ini telah dilakukan hasil daripada sumbangan orang ramai dan warga UTeM yang diadakan sejak akhir Oktober 2018 lagi. .

Ujar beliau lagi, seramai 31 orang siswa FKEKK turut sama menjayakan program tersebut sebagai fasilitator bagi membantu pelajar dalam urusan sepanjang proses pemilihan dan pembelian kelengkapan persekolahan tersebut.

Terdahulu Norihan menyatakan dalam urusan logistik pula kesemua 57 orang pelajar sekolah tersebut telah dibawa menggunakan 2 buah bas UTeM bagi membeli kelengkapan persekolahan di Mydin.  

Ternyata program ini telah berjaya mengukir kegembiraan dan keceriaan dalam kalangan para pelajar sekolah terbabit sekaligus meringan kan beban kewangan ibu dan bapa mereka.