Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus bergiat aktif dalam usaha pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) tinggi negara.
Sehubungan itu antara inisiatif yang dilaksanakan adalah dengan penganjuran Seminar Kebangsaan Transformasi TVET 2018 di Dewan Canselor Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal Melaka baru-baru ini.
Menurut Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib berkata, antara objektif program ini adalah menyediakan platform kepada kepada warga akademik, pendidik, pengajar dan jurulatih kemahiran dalam memahami aspirasi sebenar TVET.
Jelas beliau, ianya juga membantu usaha Rangakaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dalam menjayakan TVET di bawah jawatnkuasa yang telah dilantik oleh kerajaan.
Tambah beliau, pelbagai inisiatif yang telah diambil oleh MTUN dalam pemartabatan TVET antaranya menyediakan penawaran program baharu teknologi MTUN yang tidak memerlukan program pengukuhan atau bridging program.
“Di samping itu, pengambilan graduan TVET melalui kaedah APEL iaitu Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu dengan memberi peluang kepada mereka untuk menyambung pelajaran di MTUN”, ujar beliau.
Teks ucapan beliau bagi majlis perasmian penutup tersebut telah dibaca oleh Penolong Naib Canselor Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti UTeM Profesor Dr Mohd Ridzuan Nordin yang mewakili beliau.
Antara pengisian menarik sempena dengan Seminar Kebangsaan Transformasi TVET 2018 adalah 2 slot Syarahan Umum Transformasi TVET, Forum Transformasi TVET serta pameran berkaitan TVET bagi tujuan pendedahan kepada masyarakat.
Program ini telah mendapat penyertaan memberangsangkan daripada wakil-wakil institusi pendidikan tinggi seluruh negara terutamanya yang menawarkan pendidikan TVET seperti MTUN, Politeknik, Kolej Komuniti, Insititusi-Institusi Latihan Kemahiran dan lain-lain.
Penganjuran Seminar Kebangsaan Transformasi TVET 2018 ini telah dikendalikan oleh Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK) UTeM.