Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) bersama Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan sesi perkongsian ilmu bersama Profesor Adjung Datuk Syed Hussian Al Junid baru-baru ini.
Program perkongsian ilmu “Ethics at Workplace” bersama pelajar-pelajar dari dua fakulti tersebut telah diadakan bertempat di Samsung IoT, Kampus Industri UTeM, Ayer Keroh Melaka.
Syed Hussian Al Junid merupakan Profesor Adjung Fakulti Teknologi Kejuruteraan bermula 1 Mac 2018 yang mana beliau kini adalah Pengarah kanan Operasi Perniagaan Asia syarikat Western Digital (M) Sdn Bhd.
“Ethics at Workplace” adalah perkongisan berkenaan etika-etika khusus di tempat kerja yang perlu diamalkan dan dipatuhi oleh setiap pekerja pada setiap masa di samping aktiviti berkumpulan seperti ‘Building Thrust’.
Pelajar turut diberikan pendedahan dalam kaedah membuat keputusan terbaik serta adil dalam sesuatu situasi melalui aktiviti ‘Critical Thinking - Fairness’ malahan pelajar juga diajar untuk membuat penilain dan juga justifikasi dalam menyokong keputusan yang telah dibuat.
Dekan FTKEE, Prof. Madya Mohd Rahimi Bin Yusoff terharu di atas kesudian Datuk Syed Hussian Al Junid berkongsi pengetahuan dan ilmu yang sangat tinggi nilainya bersama pelajar-pelajarnya.
Katanya, penyertaan pelajar dalam aktiviti-aktiviti sebegini adalah selari dengan hasrat fakulti untuk melahirkan graduan-graduan yang bukan sahaja memiliki kemahiran dan pengetahuan teknikal yang tinggi, malah turut berupaya untuk menguasai kemahiran insaniah dalam kepelbagaian aktiviti dan program yang dianjurkan.
Tambah beliau lagi, perkongsian “Ethic at Workplace” bukan hanya untuk diaplikasikan dalam suasana bekerja semata-mata, namun manfaat juga dilihat untuk diterapkan dalam kehidupan harian mereka sebagai pelajar di FTKEE dan UTeM khususnya.
Sementara itu salah seorang peserta program tersebut Muhammad Isa Ishak menyambut baik penganjuran program seumpama ini kerana peluang untuk bertemu dengan seseorang yang berpengalaman luas serta bersedia untuk berkongsi ilmu berkaitan dunia sebenar dalam industri, bukannya datang selalu.
Ujarnya, program sebegini bukan sahaja berkait rapat dengan bidang pengajian yang sedang diikuti malah membuka peluang untuk mengenali dunia pekerjaan yang sebenar di luar sana.