Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya mendapat penarafan emas dan perak pada Majlis Konvokesyen KIK Universiti Awam kali ke-14 tahun 2018 yang berlangsung di Universiti Malaya, baru-baru ini.
Sebanyak empat kumpulan KIK UTeM tersebut adalah terdiri daripada Kumpulan Go Save, Kumpulan Go Green, Kumpulan TechITez dan juga Kumpulan IDEA menerusi pencapaian penarafan dua emas dan dua perak.
Penarafan emas pertama diperolehi oleh Kumpulan Go-Save yang diketuai oleh Dr. Rozaimi Ghazali bersama sembilan orang ahli kumpulan mereka dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dengan projek mereka mengawal penggunaan tenaga elektrik secara terperinci bagi mengelakkan pembaziran tenaga daripada berlaku dengan memperkenalkan capaitan menerusi Internet of Things (IOT) bagi mengurus penggunaan tenaga elektrik dengan lebih cekap.
Penarafan emas kedua pula diraih oleh kumpulan Go-Green yang diketuai oleh Ir. Dr. Mohd Rizal Alkahari bersama lapan orang ahli dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) bagi projek mereka iaitu pembangunan projek mesin pencetak secara tiga dimensi (3D) yang lebih kompak, murah dan mudah untuk dibuat bagi mengatasi kekurangan mesin pencetak 3D tersebut untuk proses pengajaran dan pembelajaran.
Menurut ketua Pegawai Operasi UTeM, Masdzarif Mahat berkata, kedua-dua kumpulah yang diberi penarafan emas tersebut turut menerima penarafan yang sama tahun lepas, menerusi produk projek tahun lalu di peringat antarabangsa menerusi International Convention on Qualiti Control Cricles (ICQCC) 2017 yang berlangsung bertempat di Manila, Filipina.
Ujar beliau lagi, terdapat dua lagi kumpulan yang bertanding iaitu Kumpulan TechITez dari Pusat Perkhidmatan Pengetahuan dan Komunikasi (PPPK) UTeM dan kumpulan IDEA dari Pejabat Bendahari UTeM diberikan penarafan perak di atas pencapaian persembahan projek mereka.
Kumpulan TechITez dari PPPK UTeM yang diketuai oleh Al-Qais Alias bersama 10 orang ahli yang lain telah menerima penarafan perak menerusi projek mereka dalam menguruskan penambahbaikan ke atas sistem maklumat universiti secara berkomputer dan bersistematik menerusi modul Aduan Penguna di dalam Sistem Maklumat Fasiliti UTeM yang mendasarkan aduan dan keperluan daripada pemilik UTeM atau staf UTeM sendiri.
Kumpulan IDEA yang terdiri dari 9 orang ahli termasuk ketua kumpulan, Ahmad Fuad Karim dari Pejabat Bendahari pula telah memilih isu lambakan simpanan stok di dalam stor untuk ditangani dengan baik dan berkesan bagi mengelakkan pembaziran sumber berikutan stok yang disimpan menjadi usang akibat terlalu lama disimpan di dalam stor.