Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menganjurkan Karnival Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) 2018 yang dijadualkan akan berlangsung pada 26 hingga 29 September 2018 nanti.

Karnival PLH 2018 ini merupakan anjuran Perpustakaan Laman Hikmah UTeM dan program ini diadakan bertempat di Perpustakaan Laman Hikmah Kampus Induk UTeM Durian Tunggal.  

Menurut Pengarah Program merangkap Timbalan Ketua Pustakawan Kanan UTeM Azman Ayup berkata, antara objektif karnival ini adalah untuk menyebarkan ilmu melalui penyediaan bahan bacaan pelbagai genre oleh penerbit dan pembekal buku tempatan dan antarabangsa kepada warga universiti dan masyarakat setempat.

Katanya, menerusi medan sebegini akan membantu dalam melahirkan masyarakat minda kelas pertama melalui pembacaan bahan rujukan yang berkualiti dan seterusnya menyokong kepada pembudayaan ilmu sepanjang hayat.

“Pelbagai pengisian aktiviti telah dirancang dan bakal memikat para pengunjung yang disasarkan terdiri daripada warga UTeM, pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar negeri Melaka”, ujar beliau lagi.

Sementara itu barisan pelajar dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta samping orang ramai dari sekitar negeri Melaka dijemput bagi mendapatkan manfaat besar daripada karnival ini.

Pelbagai pengisian utama untuk Karnival PLH 2018 selama empat hari berturut-turut antaranya adalah seperti pameran buku dan jualan, Pertandingan Inovasi Produk Kitar Semula, Wheel of Fortune, ceramah motivasi, permainan dalaman,  persembahan kumpulan Buskers, Environment Run serta banyak lagi.

Majlis Perasmian bagi KPLH 2018 ini dijangka akan diadakan pada hari pertama karnival ini 26 September 2018 dan berlangsung di sebelah pagi yang melibatkan kepimpinan tertinggi UTeM manakala akan dirasmikan kepimpinan tertinggi negeri Melaka.