Skip to main content

Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini telah menganjurkan International Conference on Intelligent and Interactive Computing 2018 (IIC 2018) bertempat di salah sebuah hotel terkemuka di Bandaraya Melaka.

Membawakan tema Intelligent and Immersive Computing Towards Industrial Revolution 4.0, persidangan antarabangsa ini dianjurkan bagi menyediakan platform dan keutamaan kepada penyelidik dan pihak yang berminat dari UTeM untuk berbincang juga membentang hasil kerja dan kajian terkini di dalam bidang Artificial Intelligence dan juga Interactive Media.

Menurut Naib Canselor UTeM sewaktu ditemui selepas merasmikan persidangan antarabangsa tersebut menyatakan bahawa dengan tema yang diangkat pada tahun ini, persidangan ini dijangka menggalakkan kolaborasi bagi pembangunan menerusi bidang Artificial Intelligence dan Interactive Media.

Tambah beliau lagi, persidangan antarabangsa anjuran kali kedua FTMK ini telah melibatkan profesor universiti terkemuka dunia sebagai International Advisory Board IIC 2018 seperti Prof. Dr. Hideyuki Takagi dari Kyushu University, Prof. Dr. Chrisina Jayne dari Oxford Brookes University, Prof. Dr. Hepu Deng dari RMIT University dan ramai lagi.

Di atas kejayaan persidangan IIC pada tahun 2015 yang lalu, persidangan IIC 2018 ini telah mengenengahkan penyertaan komuniti Asia Tenggara dengan menghimpunkan para akademia seperti pelajar pasca-siswazah dan juga cendekiawan tersohor di Asia dalam membincangkan kesediaan mereka mendepani gelombang Revolusi Industri 4.0.

Terdapat lapan bidang utama merangkumi tema persidangan tahun ini diketengahkan seperti Computational Intelligence, Biological Computing, Robotics and Automation, Multimedia Technologies, Immersive Technologies, Data analytics, machine learning and knowledge discovery, Sosial Issues dan lain-lain.

Penganjuran IIC 2018 kali ini turut telah melonjakkan penyelidikan ilmuan UTeM di persada dunia menerusi perbentangan kertas penyelidikan mereka yang mana kertas kerja dan penyelidikan mereka akan diterbitkan dalam IEEE Explore dan diindeks di dalam perkhidmatan SCORPUS.

Sementara itu UTeM juga akan menerbitkan manuskrip Extended Version dalam persidangan tersebut ke dalam Jurnal UTeM dan beberapa jurnal berindeks yang lain seperti Journal of Telecommunication, Electronic and Computer Engineering (JTEC), Journal of Advanced Manufacturing Technology (JAMT) dan lain-lain lagi.