
Antara inisiatif Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dalam menyemarakkan ukhwah jalinan sepasukan bagi seluruh warganya maka satu majlis ramah mesra sambil menikmati keenakan buah-buahan tempatan diadakan bertempat di perkarangan Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal Melaka.
Program tersebut diadakan bersempena dengan musim buah-buahan tempatan yang mana warga UTeM yang hadir telah disajikan dengan aneka pilihan durian di samping buah-buahan lain seperti manggis dan rambutan.
Menurut Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, program yang dianjurkan ini adalah bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan silaturrahim antara pengurusan tertinggi, kakitangan UTeM dan juga para pelajar.
Tambah beliau lagi, majlis ini turut menjadi platform kepada kesemua tetamu yang hadir untuk menikmati hasil dusun UTeM yang terletak di sekitar kampus induk ini yang berkeluasan anggaran 30 ekar yang dipenuhi dengan pelbagai pokok buah-buahan tempatan.
“Lebih 1,500 orang warga UTeM terdiri dari pelbagai kumpulan seperti pentadbiran, akademik, pengurusan & professional serta kumpulan pelaksana di samping para pelajar telah hadir dalam majlis ini yang mana turut disajikan dengan bubur kacang durian, serawa durian dan juga pulut durian”, ujar beliau lagi.

Majlis ramah mesra ini adalah kesinambungan sesudah selesai sahaja sesi Perhimpunan UTeM yang mana perhimpunan tersebut merupakan majlis perjumpaan rutin seluruh kakitangan UTeM bagi setiap tiga atau empat bulan sekali.
Perhimpunan UTeM pada kali ini dihoskan oleh Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) bersama Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP).
Dalam Perhimpunan UTeM kali ini Dekan FTKEE, Prof. Madya Mohd Rahimi Yusoff telah berkongsi kepada warga UTeM tentang pencapaian dan kejayaan Fakulti teknologi kejuruteraan selama 7 tahun sebelum ini sejak mula beroperasi pada tahun 2011 sehinggalah bermula 1 Julai 2018 kini telah terbahagi kepada 2 iaitu FTKEE dan FTKMP.
Sejurusnya Perhimpuan UTeM seperti biasa tertumpu kepada ucapan daripada Naib Canselor UTeM berhubung dengan aktiviti dan pencapaian semasa universiti di peringkat nasional dan juga di persada dunia di samping perancangan lanjut dan pesanan beliau kepada warga kerja UTeM untuk terus berdaya cemerlang dalam tugasan masing-masing.
Kedua-dua majlis ini turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi universiti seperti Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Datuk Dr. Mohd Razali Muhamad, Prof. Dato’ Dr. Abu Abdullah yang menjalankan fungsi timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Mohd Ridzuan Nordin yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dr. Goh Ong Sing, Ketua Pegawai Operasi Masdzarif Mahat, Ketua Pegawai Maklumat Isa Mohd Dom serta barisan dekan-dekan fakulti dan pegawai-pegawai kanan universiti.