Skip to main content

Keunikan dan kecemerlangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menjadi tumpuan universiti-universiti ternama dari serata dunia dalam menjalin hubungan strategik berimpak dunia.

Baru-baru ini UTeM telah menerima lawatan delegasi daripada salah sebuah universiti ternama dari Korea Selatan iaitu Busan University of Foreign Studies (BUFS) bertempat di Bangunan Canselori kampus induk UTeM Durian Tunggal.

Pihak BUFS diwakili oleh Presidennya Dr Jung Giyoung bersama dengan barisan pegawai kanan universiti berkenaan manakala disambut oleh pihak UTeM yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Datuk Dr Mohd Razali Muhamad bersama dengan pegawai-pegawai kanan UTeM.

Menurut Dr Mohd Razali Muhamad berkata, lawatan BUSF ini adalah tertumpu kepada perbincangan dua hala ke arah melaksanakan projek-projek berimpak antarabangsa secara bersama.

Katanya, antara yang dirangka adalah berhubung dengan pelaksanaan program mobiliti staf dan pelajar antara kedua-dua universiti di samping program-program pertukaran budaya dan bahasa.

“Di samping itu, kedua-dua pihak turut berminat dalam aspek penyemarakan ekonomi dan pertukaran teknologi antara Malaysia dan Korea Selatan menerusi kedua-dua institusi pengajian tinggi tersebut”, ujar beliau lagi.

Pada pertemua itu kedua-dua pihak telah menandatangani dokumen Surat Niat dalam meneruskan agenda Memorandum Persefahaman (MoU) yang dijangka akan dilaksanakan pada bulan September nanti.

Dalam lawatan ini juga delegasi turut dibawa meninjau salah sebuah projek kerjasama yang berjaya antara UTeM dan syarikat pengeluar peralatan elektrik dan telekomunikasi terkemuka dunia iaitu Samsung yang terletak di Kampus Teknologi UTeM Ayer Keroh iaitu UTeM Samsung Internet of Things.

Sejurus itu mereka juga turut dibawa melawat rangkaian Makmal Berteknologi Tinggi yang terdapat di Kampus Teknologi UTeM Ayer Keroh yang mana dilengkapkan dengan kemudahan teknologi perindustrian yang paling moden selari dengan yang digunakan oleh pihak industri di seluruh dunia.

Dalam lawatan delegasi dari BFSU Korea Selatan ini turut dihadiri oleh wakil daripada Pejabat Exco Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri serta wakil dari Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) bagi pemakluman mengenai peluang-peluang pelaburan yang ditawarkan oleh Kerajaan Melaka kepada pelabur asing di negeri ini.