Skip to main content

Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan Pameran Projek Rekabentuk Bersepadu bertempat di Makmal Elektrik dan Elektronik, FKE Kampus Induk UTeM Durian Tunggal baru-baru ini.

Pameran ini disertai oleh para pelajar Tahun 3 program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Mekatronik FKE UTeM yang mengambil matapelajaran Integrated Design Project.

Menurut Dekan FKE, Prof. Madya Ir Dr Md Nazri Othman berkata, antara tujuan utama program tersebut diadakan adalah bagi memenuhi kriteria pemarkahan bagi matapelajaran IDP di fakulti tersebut.

Ujar beliau program seperti ini juga dijalankan dengan matlamat membudayakan penglibatan dan sumbangan alumni kepada fakulti dan universiti selepas mereka bergraduasi dalam pengajian di UTeM”, ujar beliau mengakhiri ulasan.

Tambah beliau, penglibatan para alumni FKE UTeM juga adalah untuk membantu para pelajar terutamanya menerusi perkongsian pengalaman industri di samping para pelajar boleh membina jaringan industri bagi proses latihan industri dan kerjaya akan datang.

Secara umumnya para pelajar yang terlibat dalam pameran ini harus menyiapkan projek mereka menjelang minggu ke 13 semester pembelajaran mereka dan mereka turut perlu menyediakan poster untuk pameran pada minggu ke 14 tersebut bagi proses penilaian daripada alumni dan pensyarah yang dilantik di samping hasil projek dan poster akan dipamerkan kepada semua pengunjung yang hadir.

Turut sama hadir memeriahkan majlis adalah warga fakulti termasuklah warga akademik UTeM seperti pensyarah dan penolong jurutera di samping penglibatan istimewa daripada alumni FKE yang sedang kini bertugas sebagai jurutera, ahli teknikal, ahli akademik serta ahli pengurusan dan profesional yang mana penglibatan mereka adalah sebagai panel penilai bagi pameran projek pelajar yang bertanding.