
Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengadakan Hari Rekabentuk Kejuruteraan FKM 2018 bertempat di Kampus Teknologi, Ayer Keroh baru-baru ini .
Program berimpak besar ini adalah bertujuan untuk mempamerkan hasil inovasi rekabentuk produk kejuruteraan bertaraf dunia yang telah dihasilkan oleh para pelajar.
Program tahunan FKM ini antaranya juga adalah bagi melengkapkan program Ijazah Kejuruteraan Mekanikal bagi subjek Rekabentuk Kejuruteraan Mekanikal (Integrated Design Project) yang diwajibkan bagi pelajar tahun tiga program tersebut.
Menurut Dekan FKM, Dr. Ruztamreen Jenal berkata, dalam subjek tersebut pelajar perlu melibatkan diri untuk merekabentuk suatu produk yang boleh diguna pakai dalam sektor industri yang mana melibatkan beberapa peringkat seperti membangunkan pelan produk, memilih bahan yang sesuai untuk membuat produk tersebut dan akhirnya merekabentuk produk mereka.
Tambah beliau lagi, pada tahun ini seramai 240 orang pelajar tahun 3 yang mengambil subjek tersebut bersama 45 produk telah mengambil bahagian pada hari tersebut yang mana hasil kerja mereka telah dinilai oleh empat belas orang juri dalaman dan jemputan yang terdiri dari kalangan staf akademik UTeM dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dan FKM serta pihak industri.
Program seharian itu dilaksanakan dengan pelbagai pengisian aktiviti seperti penilaian produk oleh panel, pertandingan produk, Technical Talk manakala majlis penutup serta penyampaian hadiah berupa hamper dan sijil pemenang kepada empat pemenang utama pula disempurnakan oleh Dekan FKM.