
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Datuk Ir. Dr. Mohd Jailani Mohd Nor telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Antarabangsa Asia Pacific Consortium of Researchers and Educators (APCORE) menggantikan pengerusi lama, mendiang Dr. Matthew Eichler dari Texas State University yang telah meninggal dunia pada awal Januari lalu.
Berprinsipkan kepada memartabatkan translasional penyelidikan sejagat, Prof. Datuk Jailani telah dipilih berdasarkan sumbangan beliau kepada bidang akademik dan pencapaian sepanjang hayat beliau terutamanya kepada UTeM.
Beliau yang ditemui di pejabat menyatakan kesyukuran diatas pelantikan yang diterima dan berterima kasih diatas ahli-ahli lembaga pengarah APCORE atas kepercayaan mereka untuk melantik beliau menggantikan pengerusi terdahulu yang sedia hebat dalam organisasi tersebut.
Tambah beliau lagi dalam mengulas mengenai pelantikan tersebut menyatakan bahawa menggalas tanggungjawab memimpin adalah satu amanah yang harus dilaksanakan dan beliau akan mencuba sebaik mungkin untuk melaksanakan amanah dan kepercayaan yang diberikan.
“Pelantikan ini juga diharapkan dapat menyumbang ke atas kemajuan UTeM disamping memperkenalkan nama UTeM di persada dunia dengan memartabatkan ahli akademik UTeM di peringkat antarabangsa”, ujar beliau lagi mengakhiri temubual.
Profesor Datuk Ir. Dr. Mohd Jailani Mohd Nor juga merupakan penyelidik terkemuka dari UTeM dalam waktu yang sama berkhidmat di kerusi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dengan pengalaman berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Perancangan Kecemerlangan, Institusi Pengajian Tinggi di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Timbalan Dekan (Akademik) dan Timbalan Pengarah, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (CRIM) di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau merupakan graduan Kelas Kepujian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dari Oklahoma State University, Amerika Syarikat pada tahun 1984 dan pada tahun 1988, beliau menerima Ijazah Sarjana dari universiti yang sama dan pada tahun 1996 pula, beliau menerima Ijazah Doktor Falsafah dari Sheffield Hallam University, United Kingdom.