Pejabat Naib Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini telah menerima kunjung hormat dan perbincangan rasmi bersama delegasi Tabung Haji Negeri Melaka yang diketuai oleh Pengarah Tabung Haji Melaka, Amat Kassim Pait.
Lawatan yang berlangsung baru-baru ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Tabung Haji Melaka Noramat Abd Rahman , Eksekutif Pemasaran Kamarul Azman Hassan serta pegawai yang lain bagi membincangkan beberapa aktiviti yang dirancang untuk dilaksanakan secara kerjasama dengan pihak UTeM.
Menurut Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib berkata, secara prinsipnya UTeM selaku institusi kecemerlangan ilmu sentiasa melaksanakan dasar menjaga hubungan baik dan sentiasa mengeratkan lagi ukhuwah strategik bersama agensi-agensi luar daripada pihak kerajaan dan mahupun swasta termasuklah Lembaga Tabung Haji.
Tambah beliau lagi, kedua-dua pihak bersama ingin membuat pengisian strategik dalam hubungan baik antara Tabung Haji dan UTeM justeru langkah pertama, pihak Tabung Haji Melaka antaranya ingin memperkenalkan pelbagai produk berkaitan yang memberi manfaat berkesinambungan kepada seluruh kakitangan dan pelajar universiti ini.
Perbincangan turut menyentuh mengenai hasrat Tabung Haji untuk berkolaborasi bersama Kelab Taha@U di UTeM bagi menjalankan pelbagai aktiviti untuk para mahasiswa bagi menarik minat mereka untuk mencarum dan membuat simpanan di Tabung Haji.
Turut disentuh oleh pihak Tabung Haji adalah cadangan mereka untuk mengadakan Kursus Asas Haji bertempat di UTeM bagi mensasarkan penyertaan dan penglibatan warga UTeM yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan untuk mempersiagakan diri mereka kelak apabila terpilih untuk menunaikan haji.