Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada minggu lalu telah menerima kunjung hormat dan sesi perbincangan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka untuk membincangkan mengenai hala tuju dan perancangan untuk melibatkan para mahasiswa bersama Jabatan Bomba dalam aktiviti kokurikulum universiti.

Delegasi lawatan yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka, YS PPjB Kamarulzaman Malik Abdullah telah membincangkan mengenai badan-badan kokurikulum yang terdapat di UTeM sebagai aktiviti wajib para mahasiswa sebelum mereka menamatkan pengajian.

Menurut Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib sewaktu perbincangan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka ini telah membuka pelbagai dimensi baru dalam perkembangan aktiviti kokurikulum mahasiswa UTeM.

Tambah beliau lagi, perbincangan telah menyentuh mengenai perancangan aktiviti kokurikulum baru yang ingin diwujudkan untuk mahasiswa iaitu Badan Beruniform Bomba yang diseliakan khusus oleh pegawai bomba bertauliah dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka.

“UTeM sentiasa terbuka dalam menerima cadangan dan sekiranya ianya bersesuaian dengan kehendak dan keperluan pelajar, maka UTeM akan sedia mempertimbangkan dan melaksanakan perkara tersebut”, ujar beliau mengakhiri temubual.

Delegasi lawatan yang terdiri seramai enam orang pegawai tersebut telah disambut oleh delegasi UTeM yang turut terdiri daripada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Datuk Dr. Izaidin Abdul Majid, Penolong Naib Canselor, Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti, Prof Dr. Mohd Ridzuan Nordin, Dekan Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan, Dr. Zawiah Mat dan pegawai dari Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTeM.