Dalam usaha melengkapkan para mahasiswa dan mahasiswi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi mendalami dan menghayati keperluan untuk menjadi pelajar yang mempunyai jiwa dan jati diri pelajar muslim, Pusat Islam, Kelab Badan Dakwah dan Rohani (BADAR) dan Sekretariat Sahabat Yadim (SY UTeM) telah menganjurkan Program Pembangunan Sahsiah Mahasiswa Islam (PERSIS) sesi pertama bagi tahun 2018, minggu lalu.
Berteraskan kepada penerapan jati diri dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi UTeM sewaktu pengajian, para mahasiswa dan mahasiswi telah berkongsi penghayatan dalam majlis yang diadakan bertempat di Masjid Sayyidina Abu Bakar, UTeM untuk membantu mereka memperkuatkan keimanan dalam menyusuri kehidupan berdikari di kampus.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Datuk Dr. Izaidin Abdul Majid sewaktu ditemui di pejabat beliau menyatakan bahawa PERSIS yang dianjurkan merupakan satu elemen yang penting dalam pencegahan masalah gejala sosial dalam kalangan pelajar pada masa kini dan segala permasalahan gejala sosial tersebut dapat diatasi dengan pembangunan sahsiah kepada mahasiswa dan mahasiswi terutamanya pada tahun pertama berteraskan kepada aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek yang berpandukan kepada al-Quran dan al-Sunnah.
Ujarnya lagi, beliau berharap agar PERSIS ini dapat diteruskan untuk dijadikan program tahunan dan diperkembangkan kepada kesemua mahasiswa dan mahasiswi UTeM dengan harapan agar ia dapat membentuk mahasiswa dan mahasiswi islam yang mengetahui, memahami dan mengaplikasikan amal islami dalam kehidupan di samping menzahirkan akhlak dan tingkah laku muslim dalam pengurusan diri dan interaksi sosial dalam masyarakat
Program yang berlangsung selama dua hari tersebut telah dihadiri kira-kira 150 orang pelajar dengan ceramah dan perkongsian daripada penceramah yang terdiri daripada kakitangan UTeM seperti Ustaz Muhammad Asyraf Sulaiman, Ustaz Muhammad Ridhwan Mohd Danian dan Ustaz Izham Abd Razak.
Menurut salah seorang penceramah yang turut serta, Ustaz Muhammad Asyraf Sulaiman yang ditemui selepas majlis menyatakan bahawa beliau berharap bahawa PERSIS yang dijalankan mampu menyuburkan keribadian sebagai seorang muslim yang berakhlak mulia bagi meningkatkan kualiti kehidupan seharian sebagai mahasiswa dan mahasiswi dan seterusnya dapat menyumbang kepada keharmonian masyarakat setempat disamping meningkatkan pengetahuan pelajar dalam ilmu yang berlandaskan Fardhu Ain dan al-Quran supaya bersama-sama membentuk kemakmuran dan keberkatan dalam universiti khusunya dan komuniti sejagat secara amnya.