Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) telah mengadakan jalinan keserakanan strategik bersama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi berkongsi pengalaman urus tadbir akademik yang telah menjadi amalan terbaik bersama.
Program ini dilaksanakan menerusi lawatan pihak Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) ke kedua-dua buah universiti yang terletak di utara Semenanjung Malaysia baru-baru ini.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Datuk Dr. Mohd Razali Muhamad, berkata program ini antara lain berobjektif sebagai medan kepada staf pengurusan dan sokongan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM untuk mempelbagaikan ilmu dan pengalaman bagi meningkatkan lagi mutu kecemerlangan dalam pekerjaan.
Mengulas lanjut beliau berkata, program ini juga dilihat mampu mengembangkan persekitaran pendidikan dan penyelidikan sedia ada dalam bentuk kerjasama dan jaringan strategik daripada UUM yang sedia maklum di antara universiti terawal yang ditubuhkan di Malaysia dan UniMAP yang merupakan universiti yang tergolong dalam kalangan MTUN.
"Program ini telah melibatkan enam pejabat dan pusat utama yang bernaung di bawah pentadbiran Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) iaitu Pejabat Pentadbiran, Kewangan dan Promosi, Pejabat Perancangan dan Pembangunan Akademik, Pejabat Antarabangsa, Pusat Pengajaran dan Pembelajaran, Pusat Sumber dan Teknologi Pengajaran dan Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat", ujar beliau lagi.
Ternyata program lawatan dan perkongsian ilmu serta pengalaman sebegini merupakan aktiviti yang sangat berimpak dan mencambahkan lagi nilai kerja pentadbiran professional dalam kalangan universiti-universiti di bawah payung naungan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).