UTeM anjur forum perkukuh kesiapsiagaan AI negara
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperkukuh komitmennya dalam memacu agenda kecerdasan buatan (AI) negara menerusi penganjuran National Policy Convening on AI in Malaysia Forum yang menghimpunkan pembuat dasar, pemain industri, ahli akademik dan pendidik bagi membincangkan hala tuju pembangunan AI yang inklusif serta mampan.
Forum bertemakan Advancing Malaysia's Digital Future: Driving AI Readiness for Inclusive and Sustainable Development itu dianjurkan Pusat Kepimpinan Kecerdasan Buatan (AI-LEAD) UTeM dengan kerjasama Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah dan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX) UTeM, selain disokong AI Ready ASEAN, ASEAN Foundation dan Google.org.
Forum tersebut telah diadakan bertempat di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin, berkata pembangunan AI perlu dipacu melalui kerjasama erat antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan bagi memastikan negara bersedia menghadapi cabaran ekonomi digital.
"AI bukan lagi teknologi masa depan, sebaliknya sudah menjadi pemacu pembangunan negara. Justeru, kita perlu membangunkan ekosistem AI yang berteraskan inovasi, tadbir urus yang baik dan pembangunan bakat," katanya ketika merasmikan forum berkenaan.
Beliau berkata, forum itu menjadi platform strategik untuk memperkukuh dialog dasar berasaskan bukti, di samping merangka cadangan yang mampu menyokong pembangunan AI negara selaras dengan aspirasi Malaysia dan agenda digital ASEAN.
Pada majlis sama, UTeM turut melancarkan inisiatif Duta AI UTeM bagi memperluaskan literasi AI dalam kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
"Melalui inisiatif ini, UTeM mahu memastikan akses kepada pendidikan AI dapat diperluaskan supaya lebih ramai generasi muda bersedia menghadapi landskap pekerjaan masa depan," katanya.
Forum itu turut menampilkan sesi ucaptama dan plenari yang membincangkan kepimpinan AI, transformasi pendidikan, pembangunan bakat serta tadbir urus teknologi, selain Forum Tadbir Urus AI dan Kesediaan Dasar di Malaysia yang menghimpunkan wakil kerajaan, industri dan akademia.
Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) mengikut kluster Dasar, Pendidikan dan Industri turut diadakan bagi merangka syor strategik ke arah memperkukuh ekosistem AI negara.
Massila berkata, UTeM akan terus memainkan peranan sebagai peneraju pembangunan AI melalui penyelidikan, inovasi dan kerjasama strategik yang menyokong agenda transformasi digital negara.
"Matlamat kita ialah melahirkan ekosistem AI yang beretika, inklusif dan berdaya saing supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh masyarakat," katanya