Skip to main content
04 September 2026

Spin-off UTeM juara MCY 2025, raih RM100,000

Syarikat spin-off Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), IngeniousCity Engineering Solutions Sdn Bhd (ICES), mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai juara Anugerah Usahasama Penyelidikan dan Perniagaan pada Anugerah Malaysia Commercialisation Year (MCY) 2025.

Kejayaan menerusi inovasi Sistem Amaran Kebakaran Api Pintar (SIAKAP) itu membolehkan ICES membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, trofi dan sijil pengiktirafan pada majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Anugerah berprestij itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Chang Lih Kang sempena National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2026.

Ketua Pegawai Operasi (COO) ICES, Tan Kim Loong, hadir mewakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat, Ir Dr Anuar Mohamed Kassim, yang juga pensyarah Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik (FTKE), UTeM, untuk menerima anugerah berkenaan.

Pencapaian itu diraih selepas ICES berjaya melepasi penilaian ketat sesi final pitching yang membabitkan 29 institusi dan syarikat finalis terbaik dari seluruh negara.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin, berkata kejayaan ICES membuktikan keupayaan UTeM dalam menterjemahkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada inovasi yang mempunyai nilai komersial serta memberi manfaat kepada masyarakat.

“Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan ekosistem inovasi UTeM yang menggabungkan kekuatan penyelidikan, kepakaran akademik dan keusahawanan bagi memastikan hasil R&D tidak terhenti di peringkat makmal, sebaliknya dapat diterjemahkan kepada produk yang memenuhi keperluan industri dan masyarakat.

“UTeM akan terus memperkukuh sokongan terhadap penyelidik dan syarikat spin-off universiti supaya lebih banyak hasil penyelidikan berimpak tinggi dapat

dikomersialkan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan teknologi negara,” katanya.

Beliau berkata, pengiktirafan berkenaan turut membuktikan kepentingan kerjasama strategik antara universiti dan entiti perniagaan dalam mempercepatkan proses pemindahan teknologi serta pengkomersialan inovasi tempatan.

Sementara itu, Ir Dr Anuar berkata kejayaan ICES di pentas MCY 2025 menjadi pemangkin kepada syarikat berkenaan untuk terus memperkukuh teknologi SIAKAP dan memperluas penggunaannya di pasaran.

“Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap produk SIAKAP, tetapi juga penghargaan kepada usaha kolektif pasukan penyelidik, UTeM dan ICES dalam membawa hasil penyelidikan daripada peringkat pembangunan kepada penyelesaian yang mempunyai nilai komersial.

“Kami melihat kejayaan ini sebagai satu amanah untuk terus memperkukuh teknologi SIAKAP, meningkatkan kebolehpasaran produk dan meneroka peluang pengkomersialan yang lebih luas, termasuk ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Kejayaan ICES turut mengukuhkan kedudukan UTeM sebagai universiti berteraskan teknologi yang komited memperkasakan budaya penyelidikan, inovasi, keusahawanan akademik dan pengkomersialan hasil R&D.