Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Sawipac Sdn Bhd bagi menjayakan agenda penyelidikan bersama dalam bidang berkaitan rekabentuk dan pembangunan mesin bagi kegunaan industri sawit negara.
Majlis pemeteraian MoA tersebut telah diadakan di Bangunan Canselori, kampus induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini.
Ianya dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar manakala pihak Sawipac diwakili Pengarah Urusan, Neo Teck Siong, Penasihat Teknikal, Dato’ Dr Abu Abdullah dan Pengarah Eksekutif, Neo Soon Lee.
Dr Ghazali berkata, UTeM sebagai sebuah universiti teknikal di Malaysia sentiasa menyokong usaha kerjasama dan sedia berkongsi kepakaran yang dimiliki bersama dengan pihak industri bagi memacu pembangunan negara khususnya dalam industri sawit ini.
Ulasnya, menyentuh mengenai projek kerjasama ini dari segi rekabentuk dan kajian projek akan dilaksanakan di AMC UTeM yang merupakan pusat khusus yang diwujudkan oleh UTeM bagi menyemarakkan kerjasama penyelidikan berasaskan industri.
“Bagi menjayakan projek kerjasama ini, kumpulan khas dari UTeM dan Sawipac telah dibentuk dan ianya diketuai oleh Prof Madya Ir Ts Dr Mohd Rizal Alkahari,” ujarnya sewaktu memberikan kenyataan sewaktu MoA tersebut.
Sementara itu, Pengarah AMC, Profesor Ir. Dr. Hambali Arep @ Ariff berkata, AMC komited menjalankan projek berteraskan industri dan amat mengalukan sebarang bentuk kerjasama dengan industri dalam pelbagai aspek berkaitan.
Tambahnya, ianya seperti rekabentuk dan pembangunan berkaitan kejuruteraan meliputi pemesinan, automasi, pembuatan aditif, kejuruteraan berbalik dan lain-lain selagi ianya dapat memberi faedah kepada universiti dan pihak industri serta impak kepada negara.
Mengulas lanjut bagi impak kerjasama ini, Pengarah Urusan Sawipac, Neo Teck Siong menyatakan produktiviti industri sawit amat berpotensi tinggi untuk ditingkatkan memandangkan aplikasi teknologi terkini dan tahap automasi masih pada tahap sederhana dalam industri tersebut.
Sawipac Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat yang beroperasi di Kluang Johor mengendalikan kerja berkaitan kejuruteraan khususnya dalam sektor kelapa sawit merangkumi fabrikasi bagi bidang pembuatan mesin, komponen mesin, pengurusan dan latihan.