Skip to main content
Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Zaidi Johari telah dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu berkuatkuasa selama 3 tahun bermula dari 21 Februari 2022 sehingga 20 Februari 2025.
 
Pelantikan ini adalah untuk menggantikan Dato’ Ts. Kamel Mohamed yang telah tamat tempoh pelantikan pada Januari lalu.
 
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak UTeM, pelantikan ini selaras dengan peruntukan 17(1) (d) P.U (A) 470, sebagai wakil masyarakat di tempat terletaknya Universiti dalam keahlian Lembaga Pengarah Universiti.
 
Mengupas latar belakang akademik, Datuk Zaidi merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Universiti Malaya dan Diploma Pengurusan Awam (INTAN), Agensi Sektor Awam Malaysia.
 
Beliau memulakan kerjaya pada tahun 1996 sebagai Penolong Setiausaha di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan seterusnya turut pernah pernah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Badan Kawal Selia Air, Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.
 
Pada tahun 2008 hingga 2019 beliau telah menjawat beberapa jawatan tinggi di Pejabat Daerah dan Tanah di Negeri Sembilan, sebelum dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri, Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Melaka pada tahun 2020 seterusnya dilantik sebagai Setiasusaha Kerajaan Negeri Melaka pada Januari 2022.
 
UTeM turut mengambil peluang ini mengucapkan tahniah atas pelantikan ini dan merakamkan penghargaan serta terima kasih kepada Dato’ Ts. Kamel Mohamed atas sumbangan dan jasa yang telah disumbangkan kepada UTeM sepanjang tempoh pelantikan sebagai ahli Lembaga Pengarah UTeM sebelum ini