Skip to main content
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus komited menjayakan misi bantuan pasca banjir bagi 2 kawasan yang terlibat di Mentakab, Pahang dan Gemencheh, Negeri Sembilan.
 
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar berkata, UTeM menggerakkan seramai 50 orang sukarelawan yang terdiri daripada 40 orang mahasiswa/i dan 10 orang kakitangan bagi operasi pembersihan di 2 kawasan berbeza secara 2 hari berturut-turut.
 
Jelasnya, semalam (3 Januari) pasukan sukarelawan UTeM ini telah menjalankan kerja-kerja pembersihan perumahan dan kawasan jagaan kanak-kanak di Taman Ixora, Mentakab, Pahang bersama dengan pasukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
 
Katanya, program di sini turut melibatkan Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang turun ke padang bersama sukarelawan menjayakan misi bantuan pasca banjir di sini.
 
“Pada hari ini (4 Januari) pula pasukan sukarelawan UTeM yang sama telah bergerak menjayakan misi pembersihan pasca banjir di Taman Pinggiran, Sungai Kelamah, Gemencheh, Negeri Sembilan pula” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
 
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, UTeM sentiasa cakna dan prihatin terhadap mangsa banjir.
 
Ujarnya, sepanjang 2 hari pelaksanaan program ini kami telah berjaya sempurnakan kerja-kerja pembersihan di dalam rumah dan di luar rumah mangsa banjir.
 
“Di samping itu kerja-kerja mengalih dan mengangkat perkakasan yang rosak untuk dibuang ke pusat pelupusan sampah turut dijalankan serentak agar kawasan berkenaan kembali sempurna dan memudahkan penduduk menjalani kehidupan seperti biasa.
 
“Kami juga bersama sukarelawan ini, akan teruskan misi gotong royong dan pembersihan pasca banjir di Negeri Melaka pula selepas ini,” tambahnya lagi.
 
Mengimbau keadaan di situ Dr Sabri berkata, menyayat hati bila kita lihat keadaan kawasan terlibat mengalami kemusnahan harta benda melibatkan perabot, pakaian, peralatan elektrik dan elektronik serta kerosakan kenderaan.
 
Semoga dengan bantuan pembersihan yang telah kami berikan ini dapatlah meringankan beban dan keperitan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa banjir.