MELAKA, 29 Oktober: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) masyhurkan keunggulan bahasa melayu merentas benua menerusi Karnival Bulan Bahasa Kebangsaan (KBBK) 2021 yang diadakan secara dalam talian.
KBKK 2021 yang diadakan pada 8 hingga 28 Oktober merupakan anjuran Pusat Pembelajaran Bahasa (PPB) dengan kerjasama Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori (PPPC), UTeM.
Pengarah Program KBBK 2021 yang juga Guru Bahasa Kanan, PPB, UTeM, Noorsaiyidah Suradi berkata, antara objektif program ini menjadi platform bagi memperkukuhkan penguasaan dan kecintaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar dan staf UTeM di samping memperhebatkannya di persada dunia.
Jelasnya, pada kali ini program KBBK ini diisi dengan 11 program menarik berlemen hebat ke arah menyerlahkan kemasyhuran dan keunggulan bahasa melayu merentas sempadan dunia.
“Antaranya adalah slot bual bicara 'Bahasa Melayu Merentasi Benua, Dirgahayu Bahasaku' yang dijayakan tetamu jemputan dari Rusia, Amerika Syarikat (USA) dan Jepun.
“Turut diisi dengan program pertandingan deklamasi sajak yang melibatkan para peserta yang terdiri daripada pelajar antarabangsa UTeM,” ujarnya dalam kenyataan yang diberikan semalam.
Menyentuh mengenai kelainan lain bagi penganjuran kali ini beliau berkata, KBBK 2021 buat julung kalinya menganjurkan Pertandingan Berbalas Pantun Terbuka Piala Pusingan Dekan-Dekan UTeM.
Juara sulung bagi Pertandingan Berbalas Pantun Terbuka Piala Pusingan Dekan-Dekan UTeM ini telah berjaya dirangkul oleh kumpulan Awang Daik yang merupakan staf dari Pusat Tanggungjawab Canselori, UTeM.
Pengarah PPPC, Fazidah Ithnin berkata, penganjuran kali ini secara umumnya mencapai objektif yang diharapkan dan semarak kemasyhuran bahasa melayu
meresapi bukan hanya dalam kalangan warga UTeM dan negara kita malahan merentasi global.
Katanya, hal ini turut berjaya mengimbau kembali betapa masyhurnya bahasa melayu menjadi alat komunikasi dan pertuturan ramai suatu ketika dahulu sewaktu zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.
Mengulas lanjut beliau berkata, program dan pengisian KBBK 2021 turut berjaya mencungkil bakat dan kreativiti dari kalangan para peserta yang terdiri daripada kalangan staf dan juga pelajar.
Sementara itu, Dekan PPB, UTeM, Dr Mohd Fauzi Kamarudin dalam ucapan penutup KBBK 2021 peringkat UTeM berkata, menjadi tanggungjawab dan pentingnya kita bersama memartabatkan bahasa kebangsaan.
Beliau turut menyeru agar setiap warga pendidik untuk bersama meningkatkan bahasa kebangsaan dan menambahbaik penggunaan bahasa Kebangsaan yg kita cintai ini.
Kesempatan itu Dr Fauzi turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa KBBK, para peserta dan pemenang serta seluruh pihak yang terlibat dalam menjayakan KBBK 2021 ini.