Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah diberikan mandat oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melaksanakan program latihan keusahawanan bagi lepasan graduan anak Melaka.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, program ini di bawah dana Penjana KPT-Career Advancement Program@State (KPT-CAP@State) yang dimandatkan kepada UTeM bagi merealisasikan hasrat negara.
Jelas beliau, dana program berimpak nasional ini adalah sebanyak RM 1.05 juta ini nanti bakal memberikan manfaat besar kepada kepada golongan sasaran.
Katanya, Program ini ditawarkan kepada anak Melaka yang merupakan lepasan graduan diploma atau ijazah dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh Malaysia.
Ujarnya, sebanyak 4 program yang akan dilaksanakan iaitu Program Agropreneur Muda, Transformasi Perniagaan Kepada Program e-Dagang, Rahsia Cara Menubuhkan Perniagaan Pengeluaran Percetakan dan Rahsia Cara Perniagaan Dalam Talian dan Pemasaran Seperti Pro.
“Program ini akan dijalankan dengan kerjasama bersepadu bersama Institut Tun Perak,” ujarnya lagi dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Pengarah Pusat Pengurusan Alumni dan Kebolehpasaran Graduan UTeM merangkap Pengarah Program, Dr Khairuddin Osman berkata, pelaksanaan program ini dijangka akan dijalankan pada bulan Ogos nanti setelah sempurna perolehan berkaitan.
Katanya, setiap program akan dijalankan selama 14 hari dan pelaksanaannya akan berlangsung di sekitar negeri Melaka.
Mengulas lanjut beliau berkata, 200 peserta kursus latihan menjadi usahawan ini bakal menerima Sijil Kompetensi Profesional, bimbingan mendaftar syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan tawan Skim Pinjaman Mikro Kredit kepada yang berminat serta layak.