Ahli perniagaan yang juga mantan peneraju utama Kumpulan Renong dan United Engineering Malaysia (UEM) Tan Sri Dato’ Seri Halim Saad dilantik sebagai Pro Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baharu untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 15 Januari 2021 hingga 14 Januari 2024.
UTeM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan Halim Saad, 68 tahun ini adalah bagi menggantikan Datuk Wira Ismail Saleh yang telah tamat tempoh pelantikan beliau.
“Pelantikan ini disempurnakan oleh Canselor UTeM, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam selari dengan momentum UTeM ke arah kecemerlangan pendidikan teknikal yang kreatif dan inovatif terkemuka di dunia serta Revolusi Industri 4.0,” menurut kenyataan itu.
Halim Saad memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dan Pentadbiran dari Universiti Victoria, Wellington, New Zealand pada tahun 1976 manakala beliau turut menerima anugerah akademik kehormat dari beberapa buah universiti dari dalam dan luar negara.
Antaranya adalah Ijazah Kehormat Doktor Sains, Universi Putra Malaysia (1997), Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan, Universiti Teknologi Malaysia (1997), Anugerah Kehormat Khidmat Cemerlang, Universiti Victoria, Wellington, New Zealand (1999) dan Ijazah Kehormat Doktor Perdagangan dari universiti yang sama pada tahun 2015.
Beliau mula berkhidmat sebagai Penganalisis Kewangan di Ford Motor Co. Singapore pada tahun 1978 seterusnya melonjak kerjayanya kepada beberapa jawatan penting seperti Naib Pengerusi Eksekutif di UEM (1986-2001), Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) (1990-1993) dan The New Straits Times Press (M) Berhad (1990-1993).
Selain itu beliau turut menyumbang kepakaran sebagai Naib Pengerusi Eksekutif di Sistem Televisyen (M) Berhad (1990-1993), Kinta Kellas Public Listed Company (1990-2001), Faber Group Berhad (1990-2001) dan Renong Berhad (1990-2001).
Mengulas mengenai sumbangan dan jasa beliau kepada negara dalam sektor korporat antaranya adalah menubuhkan salah satu kumpulan perniagaan terbesar dan
memberikan impak langsung kepada negara suatu ketika dahului iaitu Kumpulan Renong / kumpulan UEM.
Dari aspek kejuruteraan dan pembinaan pula, antara sumbangan besar beliau adalah merancang dan melaksanakan lebuh raya milik swasta pertama dan terbesar di Asia Tenggara iaitu PLUS Highway Bhd pada tahun 1986 dan menyiapkan projek dalam tempoh masa efisien iaitu hanya 5 tahun setengah sahaja berbanding tempoh kontrak sebenarnya adalah 7 tahun.
Sementara itu dari aspek pendidikan pula beliau turut berjaya mencipta dimensi baru apabila menjadi pengasas dan menubuhkan Kolej Yayasan Saad (KYS) yang merupakan sekolah berasrama penuh swasta yang pertama dalam negara.
Selepas meninggalkan Kumpulan Renong / UEM pada tahun 2001, Halim Saad mengasas dan memiliki sepenuhnya Kumpulan Markmore yang mempunyai pelaburan dalam bidang penerokaan minyak dan gas konsesi pengeluaran, konsesi perlombongan, minyak hiliran dan gas, tenaga boleh diperbaharui, hartanah dan pusat membeli-belah.
Naib Canselor UTeM Prof Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim dalam kenyataan sama berkata seluruh warga universiti merakamkan ucapan tahniah dan mengalu-alukan beliau untuk bersama menjayakan kelestarian pembangunan universiti itu dalam segenap aspek.
Raha turut menyatakan pelantikan tersebut seiring dengan pemerkasaan prestij universiti itu dan bertepatan dalam mengangkat keunggulan dan keperibadian cemerlang warga UTeM.
UTeM turut mengambil peluang merakamkan penghargaan dan terima kasih atas sumbangan dan jasa yang telah dicurahkan oleh Datuk Wira Ismail Saleh sepanjang tempoh beliau bersama UTeM sebelum ini.