Kelab Pemandu Kenderaan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (KEPKU) berinisiatif dalam menganjur dan menjayakan program berkonsepkan kebajikan yang memberikan impak besar kepada komuniti sejagat.
KEPKU dengan kerjasama Pusat Kesihatan dan Pejabat Pengurusan Kenderaan UTeM telah menganjurkan program Derma Darah Setitis Darah Penghubung Insan dan ceramah agama bersama Ustaz Syamsul Debat.
Program tersebut telah diadakan bertempat di Depot Kenderaan UTeM, kampus induk, Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini.
Pengarah Program, Razali Abu Zahar berkata, antara objektif program ini adalah bertujuan membantu menambah bekalan darah di Tabung Bekalan Darah Hospital Besar Melaka sekaligus membantu mereka yang memerlukan bekalan darah pada saat-saat kecemasan.
Katanya, ceramah bersama Ustaz Syamsul Debat dengan tajuk Keikhlasan Bekerja Tiket ke Syurga pula adalah sebagai cambahan ilmu dalam kalangan staf di samping memupuk semangat penghayatan agama sebagai teras kepada amalan berkerja seharian.
Jelas beliau, program derma darah tersebut berjaya mengumpulkan sebanyak 71 beg darah melebihi sasaran awal sebanyak 60 beg seperti mana yang disasarkan oleh Unit Tabung Darah Hospital Melaka dengan penyertaan kira-kira 150 orang tetamu yang hadir untuk menderma darah.
"Sementara itu, program ceramah bersama Ustaz Syamsul Debat turut menerima penyertaan yang memberangsangkan namun terpaksa menghadkan penyertaan ke 150 orang sahaja di atas kekangan ruang dan pematuhan SOP yang ditetapkan," ujarnya lagi.
Kedua-dua program tersebut berjaya mencapai sasaran yang diingini dan berharap agar ianya menjadi acara tahunan bagi KEPKU dalam usaha membantu Hospital Besar Melaka bagi memastikan bekalan tabung darah sentiasa mencukupi.
Turut bersama dalam program ini adalah Penolong Naib Canselor Pejabat Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti UTeM, Profesor Madya Mohd Rahimi Yusoff dan Pengerusi KEPKU Hadzmir Hasan.