Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Pejabat Hal Ehwal Pelajar terus berinisiatif dalam mencorak kumpulan kepimpinan pelajar yang berkarisma tinggi bercirikan Tangkas, Unggul, Adaptif dan Holistik (TUAH).
Bagi menjayakan agenda ini maka Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTeM telah mengadakan Kursus Kepimpinan dan Pengurusan Organisasi buat 32 orang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM sesi 2020/2021 yang diadakan baru-baru ini bertempat di Pantai Kemunting, Melaka.
Mengulas mengenai pengisian dan impak program ini, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Profesor Madya Dr Nurulfajar Abd Manap berkata, kursus ini merupakan platfom pendedahan tentang tatacara pengurusan universiti terkini.
Jelasnya ianya juga berkisar kepada pemantapan tatacara penampilan diri pemimpin pelajar secara profesional serta peraturan yang berkaitan di samping membentuk keyakinan tinggi dalam kalangan pemimpin pelajar.
Katanya, barisan MPP UTeM turut dilatih berhubung keperluan dan kehendak pembangunan pelajar secara holistik, sikap kepimpinan dan kemantapan jati diri sentiasa bersedia menghadapi apa sahaja bentuk ujian dan rintangan dalam dunia yang semakin mencabar.