Sejarah tercipta apabila buat julung kalinya Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya disenaraikan dalam Times Higher Education (THE) World University Ranking 2021.
Pencapaian kedudukan berprestij senarai universiti terbaik dunia ini telah diumumkan oleh THE baru-baru ini berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan dalam THE World University Rankings 2021.
Dalam senarai tersebut menyaksikan UTeM kini telah menyertai 14 universiti tempatan lain seperti Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Petronas dan Universiti Utara Malaysia di pentas ini.
UTeM telah disenaraikan pada kedudukan 1000+ iaitu pada tangga (1,000-1,527) iaitu dalam kedudukan yang sama dengan beberapa universiti tempatan lain iatu Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Multimedia dan Universiti Teknologi Mara di peringkat dunia.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, dengan tersenarainya UTeM dalam kedudukan THE World University Rankings 2021 telah menzahirkan UTeM terus berprestij sebagai salah sebuah institusi kecemerlangan ilmu antara yang terbaik di peringkat dunia.
Jelas beliau, penarafan THE ini berteraskan kepada penilaian yang berfokus kepada 5 bidang utama sesebuah universiti iaitu pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, sitasi, pengantarabangsaan serta knowledge transfer yang mana telah diperkenalkan sejak 2011.
Katanya, pihak UTeM di segenap peringkat juga akan terus bergiat aktif melaksanakan inisiatif-inisiatif baharu menambahbaik kedudukan ini pada tahun dan masa akan datang.