Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Academician Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, FASc telah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah bagi peringkat Negeri Perlis 1442H/2020.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Majlis Sambutan Maal Hijrah 1442 Hijrah di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada hari Isnin lalu.
Beliau yang merupakan anak jati Arau, Perlis telah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah pada tahun ini atas sumbangan besar beliau dalam konteks pembangunan insan dan sumber manusia.
Ianya juga turut melibatkan sumbangan beliau dalam bidang pendidikan di peringkat nasional dan global di samping pelbagai pencapaian dan pengiktirafan hebat telah dicapai beliau di di dalam dan luar negara.
Sementara itu, pihak UTeM yang diwakili oleh Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim merakamkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada Ahmad Tajuddin Ali atas pengiktirafan dan pencapaian sebagai Tokoh Maal Hijrah ini.
Jelas beliau, penganugerahan anugerah tersebut kepada beliau merupakan pilihan yang tepat berdasarkan sumbangan beliau yang cukup luas serta berimpak besar di dalam dan luar negara.
Mengulas dalam konteks UTeM beliau berkata, menerusi kepimpinan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM sejak dari 2016, pelbagai kemajuan dan kejayaan telah dicapai hasil dari sumbangan idea dan pengalaman beliau dari pelbagai sektor sama ada industri mahupun pendidikan.