Skip to main content
Barisan pengurusan tertinggi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengadakan kunjungan hormat  bagi mengadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka yang baharu Tun Datuk Seri (Dr.) Hj Mohd Ali bin Mohd Rustam, semalam.
 
Lawatan tersebut diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Academician Tan sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali, FASc.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, antara objektif kunjungan hormat tersebut adalah sebagai kunjungan rasmi pihak universiti ini terhdap Yang di-Pertua Negeri Melaka yang baharu.
 
Jelasnya, menerusi kunjungan ini juga sebagai medan bagi meneguhkan lagi hubungan baik dan jalinan strategik yang sedia terjalin antara universiti awam teknikal berprestij ini dengan pembesar utama negeri ini. 
 
Menurut Dr Raha, menerusi kunjungan ini pihak UTeM turut memaklumkan perkembangan, kemajuan dan pencapaian semasa yang telah dicapai oleh universiti  ini yang terus menyerlah bukan hanya  dalam arena pendidikan tinggi malahan penyelidikan dan inovasi terus berimpak langsung di peringkat nasional serta merentasi sempadan global.
 
“Pihak UTeM turut mengulas berkenaan dengan perancangan dan peranan UTeM dalam keterlibatan bersama menerusi perkongsian kepakaran dalam bidang penyelidikan dan inovasi agar terus mewarnai pembangunan negeri ini.
 
“Sehingga kini pelbagai agenda telah dijayakan oleh UTeM yang memberi manfaat besar kepada negeri Melaka bagi segenap aspek menerusi perkongsian kepakaran dari universiti ini,” ujarnya lagi.
 
Turut bersama dalam lawatan tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Profesor Madya Dr Nurulfajar Abd Manap, Penolong Naib Canselor Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti UTeM, Profesor Madya Mohd Rahimi Yusoff, Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Ir Dr Md Nazri Othman, Ketua Pegawai Operasi (COO) UTeM, Masdzarif Mahat serta barisan pengurusan UTeM.