Skip to main content
Sekumpulan Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang dikenali sebagai TUAH FKEKK sedia bersaing hebat membangunkan satelit dalam Malaysia SiswaSAT Competition2020.
 
Pertandingan ini telah bermula  sejak 9 Mac sehingga  16 Oktober 2020 yang dianjurkan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)
 
Menurut Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK), UTeM Siti Aisyah Anas berkata, cabaran dalam pertandingan ini adalah merekabentuk model satelit berskala nano dengan sistem operasi seperti satelit sebenar.
 
Katanya, pasukan TUAH FKEKK dianggotai seramai 6 orang pelajar tahun kedua dari jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian iaitu Muhammad Safie Sijamsir, Syafiq Abdul Halim, Muhammad Izzat Haziq Osman, Siti Nur Syafiqah Mohamed Kamar, Muhamad Amirul Amin Wira  dan Muhd Sabri Abdul Rahman..
 
Siti Aisyah yang merupakan penyelia kumpulan ini menyatakan mereka kini telah berjaya melepasi saringan sebelum ini dan kini berada di  peringkat penyediaan dokumen untuk membentangkan kajian secara terperinci berkaitan dgn rekabentuk serta operasi model satelit berskala nano.
 
Ujarnya, buat masa ini mereka sedang bersaing bersama dengan 27 pasukan lain daripada institusi pengajian tinggi dari seluruh negara dalam pembinaan model satelit berskala nano yang boleh beroperasi seperti satelit sebenar.
 
“Kami sedang bertungkus lumus kini menggembleng segenap  kepakaran yang dimiliki bagi memastikan impian kami menjadi kenyataan untuk menjuarai pertandingan ini sekaligus menjadi pemilik kepada hadiah wang tunai yang berjumlah RM 5,000.00,”ujarnya lagi.
 
Mengulas mengenai corak komunikasi sesama ahli pada masa kini mereka menggunakan pendekatan komunikasi atas talian seperti Webex dan Whatsapp kerana lebih mudah dan berkesan.
 
Sementara itu Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim menyatakan bahawa pihak UTeM sentiasa memberikan sokongan kepada para pensyarah dan pelajarnya dalam menzahirkan kepakaran yang dimiliki di pentas nasional.
 
Jelasnya, beliau berharap pentas ini dapat digunakan sebaiknya oleh para pelajar bagi mengaplikasikan segala ilmu teknikal dan kemahiran yang dimiliki dalam realiti sebenar.
 
Ujarnya lagi, UTeM terus menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi secara berterusan di segenap peringkat akar umbi dari kalangan pensyarah dan juga pelajarnya.