Kepakaran dan kecemerlangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sebagai institusi kecemerlangan ilmu, penyelidikan dan inovasi terus menyerlah dan memberi impak besar termasuklah kepada negeri Melaka.
Terbaru, sekumpulan penyelidik UTeM dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) telah berjaya membangunkan Aplikasi Bantu Melaka yang telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali, baru-baru ini.
Pembangunan aplikasi ini juga merupakan kerjasama bersama dengan Kerajaan Negeri Melaka, Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MITCH) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, kejayaan ini sekaligus menzahirkan kepakaran yang dimiliki oleh UTeM terus diiktiraf dan kesannya dapat dinikmati semua.
Jelas beliau, UTeM terus menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi di segenap peringkat di universiti ini dan ianya bukan hanya di peringkat nasional malahan merentasi sempadan global.
Katanya, bagi pembangunan aplikasi ini kumpulan penyelidik UTeM dengan menggunakankepakaran kejuruteraan perisian dan pembangunan perisian dan aplikasi mobil bagi membangunkan aplikasi ini.
“Dengan terhasilnya aplikasi ini diharap dapat merealisasikan hasrat kerajaan negeri Melaka bagi mengendali dan memantau pengendalian pengagihan bantuan secara lebih efektif kepada rakyat Melaka yang memerlukan pabila berlaku bencana seperti pandemik COVID-19”, ujarnya lagi.
Kumpulan penyelidik UTeM diketuai oleh Profesor Madya Dr. Massila Kamalrudin bersama ahli-ahlinya yang terdiri daripada ahli akademik FTMK UTeM iaitu Ts, Datin Nurazlina Md sanusi, Rosmiza Wahida Abdullah dan Dr Norrezam Yusop (alumni UTeM)
Menurut Dr Massila, aplikasi ini telah dibangunkan dalam masa lebih kurang sebulan oleh beliau dan pasukannya bermula pada bermula pada 21 April dan siap sepenuhnya pada 18 Mei yang lalu.
Beliau berharap Aplikasi Bantu Melaka ini memberi kemudahan kepada semua pihak yang menggunakannya daripada pihak pentadbiran serta pengguna yang terdiri daripada rakyat negeri Melaka yang memerlukan.