Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menyampaikan sumbangan sejumlah 5,000 unit pelindung muka yang dinamakan sebagai "UTeM Shield" kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada 15 Mei yang lalu di Putrajaya.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Raha Abdul Rahim kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas- tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof sambil disaksikan oleh Duta negara China di sini.
Sumbangan ini sekaligus memudahkan agensi terbabit dalam mengagihkan pelindung muka tersebut kepada yang memerlukan di musim pandemik Covid 19 yang belum berakhir lagi.
Dr Raha berkata, UTeM Shield ini telah dihasilkan sendiri oleh UTeM dengan menggunakan kepakaran dalaman dari segi kelengkapan mesin teknologi terkini serta
sumber manusia yang ada.
Ujarnya, dari segi bahan-bahan pula diperolehi antaranya menerusi sumbangan oleh syarikat industri yang sedia mempunyai hubungan baik dengan UTeM.
"Senario ini juga turut mempamerkan bahawa hubungan erat dan strategik antara universiti dan industri telah berjaya menjana implikasi positif pelbagai aspek yang bukan hanya dari sudut penyelidikan dan inovasi semata-mata malahan lebih dari itu"katanya lagi.
Jelas beliau, sebelum ini Datuk Seri Mohd Redzuan sendiri telah melawat dan berkesempatan melihat sendiri pembuatannya di Makmal Teknologi Plastik, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) UTeM pada bulan April lalu.
Pembuatannya menggunakan mesin industri bertaraf dunia yang mana
“UTeM Shield" ini direka dengan menggunakan kaedah teknikal dan teknologi acuan suntikan plastik.
Menurut Dr Raha, bertepatan dengan konsep UTeM yang melaksanakan T.U.N.A.I atau nama penuhnya "Technology @ University Advancing Industries and Society" jelas menzahirkan peranan serta keterlibatan langsung UTeM kepada negara tambahan pula di saat negara dan global sedang menghadapi krisis pandemik sedunia ini.