Skip to main content
Bagi penghantaran pulang penuntut peringkat ketujuh ini menyaksikan seramai 53 orang penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang melepasi saringan kesihatan dihantar pulang ke Sabah pada pagi ini.
 
Ianya turut disertai oleh 3 orang pelajar dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) lalu menjumlahkan 56 orang semuanya.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, kumpulan ini bertolak dari UTeM dengan menaiki 3 buah bas universiti dan sebuah van dari sini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada sekitar jam 3 pagi tadi.
 
Jelas beliau, mereka dijadualkan berlepas dari KLIA ke Kota Kinabalu, Sabah pada jam 9 pagi dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines.
 
Ujarnya, seperti biasa perjalanan operasi ketujuh ini turut melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan termasuklah proses dinyah cemar oleh Jabatan BOMBA terdahulu bagi semua bagasi dan kesemua kenderaan yang digunakan.
 
"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar seperti mana yang Kita harapkan dari semua pihak yang terlibat," ujarnya lagi.
 
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Jabatan BOMBA, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Malaysia Airlines Berhad serta agensi yang terlibat sama dalam menjayakan operasi ini.
 
Terdahulu, pihak UTeM telah menyempurnakan 6 operasi penghantaran pulang penuntutnya yang mana peringkat pertama bagi Zon Selatan, peringkat kedua ke Zon Tengah 1, peringkat ketiga penghantaran pulang ke Sarawak, peringkat keempat Zon Pantai Timur, peringkat kelima sebelum ini Zon Tengah 2 iaitu negeri Perak dan peringkat keenam pula adalah Zon Utara