Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima sumbangan berupa sejumlah material, topeng muka (face mask) serta wang tunai daripada pihak industri STMicroelectronics Sdn Bhd dalam sebuah majlis ringkas yang diadakansemalam.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh kedua-dua belah pihak yang mana pihak STMicroelectronics diwakili oleh Pengarah Urusan syarikat berkenaan Tan Chun Sheng dan disambut baik oleh Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim di Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh, Melaka.
Dr Raha berkata, UTeM dan STMicroelectronics yang beroperasi di Tanjung Agas, Muar tersebut telah sedia mempunyai hubungan strategik lantas hasilnya telah memberikan impak besar kepada kedua-dua belah pihak.
Jelas beliau, sempena dengan musim pandemik ini pula pihak ST Microelectronic sudi menyumbangkan 4,000 unit topeng muka untuk tujuan digunapakai oleh barisan petugas Pusat Kesihatan UTeM dan pihak yang berkaitan.
Ujarnya, buat masa kini pihak mereka turut menyampaikan terdahulu sejumlah 2,600 unit plastik PVC yang merupakan sebahagian daripada bahan bagi melengkapkan set pelindung muka yang dihasilkan oleh UTeM yang dikenali sebagai UTeM Shield.
Sementara itudalam majlis tersebut, Pengarah Urusan STMicroelectronics turut menyampaikan sumbangan peribadi beliau berjumlah RM 7,000.00 bagi dimasukkan ke dalam Tabung Bencana UTeM.
Senario ini jelas mempamerkan bahawa hubungan erat dan straetgik antara universiti dan industri telah berjaya menjana implikasi positif pelbagai aspek yang bukan hanya dari sudut penyelidikan dan inovasi semata-mata malahan lebih dari itu.