Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima 2 tan buah-buahan dan sayuran segar dari pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri Melaka, baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTeM, Profesor Madya Dr Nurulfajar Abd Manap merakamkan penghargaan kepada pihak FAMA negeri Melaka yang sudi menyampaikan kepada pihak UTeM
Beliau berkata, buah-buahan dan sayuran yang disumbangkan daripada pihak FAMA ini adalah untuk diagihkan kepada pelajar UTeM yang tinggal di kampus.
Jelas beliau, ini juga merupakan projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pihak mereka kepada mahasiswa UTeM agar mereka juga dapat menikmati buah-buahan dan sayuran segar di dalam kampus.
Katanya, dianggarkan sejumlah 2 tan sayuran dan buah-buahan seperti tembikai susu, buah naga, nenas madu, pisang, limau bali, mangga sala, belimbing besi di samping pelbagai jenis sayuran.
Menurut Dr Nurulfajar, buah-buahan dan sayuran diserah kepada kafe untuk dimasak seterusnya dibuat agihan bersama dengan buah-buahan dan juga sayuran dan lauk yang telah dimasak untuk dinikmati oleh pihak pelajar.
“Di samping itu pihak UTeM sentiasa komited dalam memastikan segenap aspek kebajikan dan keselesaan para pelajar yang tinggal di kampus dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini sentiasa terperlihara,” ujar beliau lagi.
Penyerahan buah-buahan dan sayuran segar disampaikan sendiri oleh Pengarah FAMA negeri Melaka Samudin Hassan kepada wakil UTeM Timbalan Naib Canselor HEP, Prof Madya Dr Nurulfajar Abd Manap di kampus induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini.