Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) turut cakna dalam aspek perkembangan dan kemajuan persekitaran yang bukan hanya sekolah-sekolah dalam negeri malahan di peringkat nasional.
Selari dengan itu Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP), UTeM telah menganjurkan program ‘Sekolahku Universitiku’ yang merupakan program Gotong Royong Perdana bertempat di Sekolah Kebangsaan Bertam Hulu, Melaka, baru-baru ini.
Program ini turut melibatkan kerjasama antara UTeM bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Bertam Hulu, pihak sekolah, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) Bertam Hulu, RELA, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Dynamicwork Resources.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abdul Manap mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat.
Jelasnya, program berkonsepkan gotong-royong bersepadu ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kami dalam menzahirkan tanggungjawab sosial korporat kepada komuniti sekolah.
Katanya, dengan terlaksananya aktiviti sebegini maka ianya membantu dalam memberikan keselesaan kepada para guru dan juga pelajar di sekolah tersebut bagi menjalankan sesi pembelajaran mereka.
Mengulas lanjut beliau berkata, pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan sewaktu aktiviti gotong royong tersebut seperti pembersihan kawasan sekeliling bagi mengelakkan menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes, mengecat bilik darjah, bercucuk tanam, mengecat perabot dan pembersihan bilik darjah.
Antara peserta yang telah terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini adalah kakitangan Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Pejabat Pembangunan UTeM dan sebahagian daripada mahasiswa universiti ini.