Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus meneguhkan kerjasama strategik bersama dengan rakan-rakan industri sekaligus merancakkan keberhasilan bersama yang menguntungkan kedua-dua pihak.
Selari itu, pihak UTeM telah mengadakan kunjung hormat dan lawatan strategik bagi mengikuti perkembangan rangkaian industri berprestij antaranya adalah Konica Minolta yang bertempat di Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.
Lawatan separuh hari tersebut turut telah menyaksikan pertemuan 3 penjuru antara pihak UTeM yang diketuai Naib Canselor Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim bersama rakan industri dan alumni UTeM yang kini menjadi sebahagian dari tenaga kerja di syarikat berkenaan.
Dr. Raha Abdul Rahim berkata, kunjungan ini merupakan sebahagian inisiatif UTeM yang terus berusaha menjaga hubungan baik antara universiti dengan pihak industri.
Jelas beliau, dengan kunjungan sebegini kita dapat mengetahui dengan lebih dekat perkembangan semasa dan kehendak industri agar kurikulum yang ditawarkan UTeM terus selari dan menepati kehendak industri.
Ujarnya lagi, dapatan ini juga turut menjadi penyuntik yang lebih dinamik buat UTeM dalam memperhebatkan pembangunan akademik, penyelidikan dan kebolehpasaran graduan yang berimpak dunia.
"Kursus yang ditawarkan oleh pihak UTeM merupakan acuan yang bersesuaian dan bertepatan bagi teknologi berkuasa tinggi yang digunapakai oleh pihak industri.
“Ianya terbukti apabila peratusan kebolehpasaran graduan UTeM mencapai kedudukan tiga tertinggi dalam kalangan universiti awam dalam negara apabila lebih 90% graduan UTeM yang menamatkan pengajian berjaya mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor dan industri," ulasnya lagi.
Turut bersama hadir dalam lawatan berkenaan adalah Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat UTeM, Profesor Dr Goh Ong Sing serta pegawai-pegawai dari pejabat berkaitan.