Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) telah menandatangani Surat Niat (LoI) bagi merangka kerjasama strategik bersama Malaysian Technical Standard Forum Berhad (MTSFB) di kampus induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.
Majlis tersebut menyaksikan Dekan FKEKK, Profesor Madya Dr. Mohd Shakir Md. Saat menandatangani LoI bersama Pengerusi Lembaga Pengarah MTSFB, Dato’ Ismail Osman dan perbincangan lanjut mengenai kerjasama yang bakal berlangsung.
Dekan FKEKK Prof. Madya Dr. Shakir berkata, antara kelebihan daripada kerjasama strategik ini adalah graduan yang dihasilkan oleh UTeM semestinya kompeten dan memiliki nilai tambah dalam bidang fiber optik dengan standard yang digunakan oleh industri di Malaysia.
Jelasnya, antara pengisian kerjasama yang dirancang untuk diadakan bersama pihak MTSFB adalah Kursus Pensijilan Profesional Fiber Optic (Fiber Optic Technology Competency Certification Preparatory Course) yang mana ia akan ditawarkan kepada pelajar tahun akhir pada cuti pertengahan semester Kedua.
“Untuk memastikan kursus pensijilan yang ditawarkan diiktiraf oleh industri, kandungan kursus perlulah menggunapakai standard yang telah diterima oleh semua vendor/ penyedia sistem telekomunikasi yang ada di Malaysia”, ujarnya lagi.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim pula menyatakan bahawa UTeM terus komited dan proaktif dalam memperhebatkan pembangunan akademik, penyelidikan dan kebolehpasaran graduan yang berimpak selari dengan kehendak industri.
Ulas beliau lagi, kerjasama strategik UTeM menerusi FKEKK untuk penganjuran kursus pensijilan profesional fiber optik bersama industri MTSFB memberi nilai tambah kepada sijil yang bakal diperolehi oleh golongan mahasiswa terlibat.
MTFSB merupakan badan piawaian dalam bidang teknikal, telekomunikasi dan multimedia yang telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan SIRIM dalam membangunkan standard teknikal dalam pelbagai bidang dan modul.