Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Pusat Pembuatan Termaju, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama NanoMalaysia Berhad (NMB).

MoU tersebut telah disempurnakan di salah sebuah hotel ternama di Putrajaya pada 21 Ogos 2019 lalu dengan disaksikan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Isnaraissah Munirah Majilis. 

NMB telah menjadikan UTeM selaku hub-penyelidikan di mana UTeM akan menjadi “Techology Provider” kepada NMB dalam bidang nanoteknologi secara amnya dan penyelidikan bahan graphene secara khasnya.

Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Raha Abdul Rahim berkata, kerjasama strategik ini secara tidak langsung menzahirkan pengiktirafan NMB kepada kepakaran barisan penyelidik UTeM dalam bidang nanoteknologi.

Jelas beliau, platform ini turut membuka lembaran baru kepada NMB dan UTeM bagi menjayakan siri penyelidikan berprestij dalam bidang ini secara lebih strategik dan berimpak besar.

“Pemeteraian MoU ini turut selari dengan aspirasi nasional bagi melonjakkan negara ini ke arah menjadi negara maju dan terus berdaya saing dalam bidang nanoteknologi kini dan masa hadapan,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, penyelidikan yang dijalankan memberikan manfaat besar dan signifikan kepada rakyat negara ini sekaligus dapat meningkat taraf hidup serta menyumbangkan kehidupan yang lebih selesa pada masa hadapan.

Penyelidikan berkaitan graphene telah dijalankan sejak tahu 2016 lagi di UTeM dan setakat ini penyelidikan ini telah berjaya merekrut 5 org pelajar Doktor Falsafah dan 5 orang pelajar peringkat sarjana manakala salah satu kegunaan graphene ini adalah untuk kegunaan pempakejan elektronik dalam teknologi Revolusi Industri 4.0.

Majlis ini telah dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan Inovasi UTeM, Profesor Dr. Zulkifilie Ibrahim; Timbalan Pengarah AMC, Prof. Dr. Ghazali Omar; Ketua Pegawai Eksekutif NMB, Dr. Rezal Khairi Ahmad, ketua penyelidik UTeM, Ts. Dr. Mohd Azli Salim dan penyelidik-penyelidik dari Makmal Pencirian Bahan Termaju (AMCHAL) UTeM.