Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tidak akan berkompromi bagi sebarang kes salah laku integriti di kampus yang melibatkan staf dan pelajar.

Naib Canselor UTeM, Prof Raha Abdul Rahim berkata, tindakan pantas dan tegas yang diambil oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menangani isu ini amat bertepatan kerana salah laku akademik ini bukan sahaja memberi reputasi buruk kepada pengurusan akademik tetapi turut menjejaskan kredibiliti universiti itu sendiri.

Jelas beliau aspek integriti seharusnya menjadi tunjang utama dalam keperibadian seorang ahli akademik yang merupakan ‘role model’ kepada pelajar yang diselia.

Katanya, golongan akademik hendaklah sentiasa peka dan sedar akan garispanduan dan peraturan-peraturan berkaitan etika penyelidikan dan penerbitan agar kesarjanaan ilmu tersebut tidak tercemar.

Pihak UTeM menitikberatkan aspek integriti dan etika di kalangan warga akademik melalui pemantauan Bahagian Integriti di bawah pengurusan Pejabat Penasihat Undang-Undang, Garispanduan Pengurusan Penyelidikan yang dikeluarkan oleh Universiti, Polisi Penyelidikan 2014, Peraturan Akademik Pascasiswazah 2013 serta Garispanduan Penyediaan Tesis, Disertasi dan Projek Sarjana 2013 yang meliputi hal-hal berkaitan penyelidikan, penerbitan, integriti dan plagiat.

Sebarang salah laku akademik berkaitan integriti di kalangan warga universiti akan diambil tindakan mengikut Akta 605 – Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000.

UTeM turut menyediakan saluran aduan rasmi kepada para pelajar dan staf bagi mengutarakan sebarang isu berkaitan kepada pihak pengurusan tertinggi.

Sistem e-Aduan UTeM terbuka kepada semua warga yang boleh dicapai melalui laman sesawang universiti  dan aduan-aduan ini menjadi keutamaan dalam usaha penambahbaikan berterusan.