Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya mencatatkan sejarah tersendiri apabila telah berjaya menghasilkan Huffaz pertama  khatam hafazan 30 juzuk Al Quran.

Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Raha Abdul Rahim mengucapkan kesyukuran dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat di atas pencapaian ini.

Menurut Dr Raha, kejayaan UTeM menghasilkan Huffaz pertama ini adalah menerusi program Pengajian Tahfiz Al Quran di universiti ini yang telah dijalankan bermula pada tahun 2016/2017 lalu menerusi kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Jelas beliau, pencapaian ini sekaligus menjadikan UTeM sebagai universiti pertama dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang telah berjaya menghasilkan Huffaz.

Menurut beliau, pelaksanaan program persijilan ini adalah untuk melahirkan mahasiswa teknikal yang mampu menghafal Al-Quran dalam tempoh pengajian mereka di UTeM.

Para pelajar yang mengikuti program ini dibimbing untuk menghafal Al-Quran dengan sistem yang disusun oleh JAKIM yang mana mereka dianugerahkan Sijil Tahfiz Darul Al Quran di samping penganugerahan Ijazah Sarjana Muda program yang diikuti oleh pelajar di UTeM.

 

Hufaz pertama UTeM adalah Nur Irdina Mohamed Diah merupakan pelajar Tahun Akhir dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).

Beliau secara rasminya bergelar Huffaz pertama UTeM sempena dengan majlis khatam hafazan 30 juzuk Al Quran yang diadakan yang diadakan  pada 28 Jun, 2019 (Jumaat) yang lalu bertempat di Masjid Sayyidina Abu Bakar, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

Program Persijilan Tahfiz Al-Quran ini yang bermula pada Sesi 2016/2017 ini dikendalikan oleh Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan (PBPI) dengan kerjasama Pusat Islam UTeM serta dipantau di bawah Darul Quran, JAKIM.

Semoga terus istiqomah, berjiwa rabbani dan menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat di samping menjadi pemangkin dan inspirasi kepada yang lain untuk lebih ramai lagi huffaz di dalam bidang teknikal yang ditawarkan di UTeM.