Skip to main content

Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Ts. Dr. Goh Ong Sing telah diiktiraf dan dianugerahkan  Blockchain Global Leadership Award Under Education Category yang berlangsung bertempat di Kuala Lumpur pada minggu lalu.

Majlis penganugerahan yang berlangsung selari dengan Malaysia Blockchain Week, “Blockchain and Emerging Technologies Forum" selama dua hari tersebut telah dianjurkan oleh syarikat antarabangsa Blockchain terkenal, BlockOn dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan tempatan serta beberapa institusi blockchain dan pertukaran aset digital di Malaysia.

Penganjuran Minggu Malaysia Blockchain tersebut adalah bertujuan memberikan pandangan baru dalam dasar dan amalan panduan ketika menangani pautan dan keperluan untuk kerjasama antara penguatkuasa undang-undang dan pemain ekosistem dalam ruang blockchain dan cryptocurrencies.

Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Raha Abdul Rahim melahirkan rasa gembira di atas pencapaian ini kerana telah berjaya dan mendapat pengiktirafan di peringkat nasional dan global.

Jelas beliau, pihak UTeM akan terus bergiat aktif dalam melebarkan pelbagai inisiatif dan usaha dalam memperkasakan UTeM di persada dunia.

Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Goh Ong Sing sewaktu ditemui selepas menerima anugerah tersebut menyatakan bahawa pengiktirafan yang diterima adalah selari dengan penerimaan industri antarabangsa terhadap UTeM. 

Ujar beliau lagi, usaha pengantarabangsaan yang diamalkan oleh UTeM adalah bagi memastikan UTeM dapat bersaing teguh dan berdiri sebaris bersama universiti terkemuka di dunia.

Pada Malaysia Blockchain Week, “Blockchain and Emerging Technologies” Forum tersebut, Prof. Ts. Dr. Goh Ong Sing turut dijemput sebagai salah seorang dari penyampai ucaptama untuk membahaskan topik “Blockchain and Emerging Technologies” yang menjadi tajuk utama forum tersebut.