Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima sumbangan wang Zakat sebanyak RM30,000 daripada Malaysia Building Society Berhad (MBSB) bagi tujuan pengagihan kepada golongan pelajar yang memerlukan.
Sumbangan tersebut telah disampaikan sendiri oleh pihak MBSB kepada pihak UTeM dalam satu majlis ringkas bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka, pada 15 Mei 2019 lalu.
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, sumbangan zakat yang diserahkan oleh MBSB tersebut merupakan sumbangan untuk diagihkan kepada pelajar-pelajar UTeM dalam kategori kurang berkemampuan dan pendapatan keluarga dalam kategori kumpulan B40 yang memerlukan bantuan kewangan untuk meneruskan kelangsungan pengajian di universiti.
Tambah beliau lagi, pemberian zakat kepada UTeM tersebut adalah sebagai salah satu inisiasif MBSB untuk membantu pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan ini meneruskan pengajian di peringkat tinggi untuk meningkatkan taraf hidup ekonomi keluarga setelah mereka tamat pengajian kelak.
Penyerahan replika cek dari MBSB telah diterima oleh Dr Shahrin di saksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof Madya Dr Nurulfajar Abd Manap dan pegawai-pegawai UTeM yang terbabit.
Pihak MBSB telah diwakili oleh Pegawai Eksekutif MBSB iaitu Regional Sales Manager Deposit & Remittance for Southern Region, Mohamad Rusydan Mohd Rahim, Regional Sales Manager for Southern Region, Mohd Hazuan Md Nor dan Sales Manager Cawangan Melaka, Mohd Faqih Mustapha dan Puan Hasmah Hashim.
Penyerahan wang zakat ini merupakan penyerahan kali pertama MBSB kepada UTeM untuk disalurkan kepada golongan pelajar yang kurang bernasib baik kerana UTeM sentiasa memberi keutamaan kepada kebajikan pelajar.