Skip to main content

Pasukan Olahraga Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya merangkul empat pingat dalam penyertaan mereka menerusi Kejohanan Olahraga Terbuka Johor 2019.

Kejohanan Olahraga yang dianjurkan oleh Persatuan Olahraga Johor tersebut telah mempertandingkan acara Track dan Field bertempat di Sekolah Sukan Negeri, Tun Hussein Onn, Kluang, Johor, baru-baru ini.

Pengarah Pusat Sukan UTeM, Dr. Rosli Saadan berkata, antara objektif penganjuran program tersebut adalah untuk mencari bakat baru dan pelapis yang berkebolehan untuk mewakili negeri dan negara pada kejohanan yang akan datang.

Katanya, kejohanan ini juga adalah berfungsi sebagai pemanas badan untuk atlet-atlet negara yang akan melibatkan diri di kejohanan sukan SEA 2019 yang bakal berlangsung bertempat di Filipina, 30 November kelak.

Tambah beliau, walaupun cuaca yang amat panas di lokasi pertandingan, ianya tidak melunturkan semangat 550 atlet dan 48 kelab berdaftar  mengambil bahagian dalam kejohanan kerana dapat bersaing bersama-sama atlet negara di pentas ini.

“UTeM menerusi Nur Amiera Fazlin Kamarudin dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan (FTKMP)berjaya merangkul satu pingat perak dan satu gangsa bagi acara lontar peluru dan acara melempar cakera.

“Manakala dua pingat gangsa lagi disumbangkan oleh Syed Fazeel Shah Syed Anwar Shah dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) menerusi acara 4 x 400 meter dan 400 meter lari berpagar,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd Manap turut tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada mahasiswa UTeM yang bertanding dan berjaya membawa pulang pingat kemenangan.

Beliau berharap agar lebih ramai mahasiswa menyertai penyertaan sukan sebegitu untuk memantapkan lagi diri mereka dalam bidang selain akademik.