Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima Anugerah Buku Negara 2019 (ABN 2019) dalam sebuah majlis di Pusat  Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam.

Buku bertajuk ‘Organisasi Pembelajaran Memacu Kecemerlangan Universiti’ memenangi Anugerah Buku Negara bagi kategori Buku Umum Terbaik (Pengurusan).

Buku yang diterbitkan oleh Penerbit UTeM ini telah ditulis oleh Dr. Norliah Kudus yang merupakan Pensyarah Kanan, Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan (PBPI) UTeM dan Prof. Datuk. Dr. Sufean Hussin.

Pengarah Penerbit UTeM, Nurhafidz Abdul Sahak berkata, buku tersebut membincangkan mengenai peranan organisasi pembelajaran ke arah memacu kecemerlangan sesebuah organisasi di institusi pengajian tinggi seperti universiti.

Katanya, ekosistem universiti sebagai sebuah organisasi pembelajaran merangkumi tiga subsistem iaitu kepimpinan, sistem dan struktur kerja yang disokong oleh pembangunan dan prestasi staf pada tahap yang berbeza.

“Justeru peranan universiti akan menjadi lebih mantap dengan adanya faktor-faktor ini yang memangkin pembangunan sumber manusia yang relevan dan progresif,” ujarnya lagi.

Penulis buku tersebut Dr. Norliah Kudus telah berjaya membawa pulang sebuah trofi dan sijil di atas kemenangan tersebut.

Beliau merupakan pensyarah kanan di UTeM yang berpengalaman selama lebih daripada 20 tahun sebagai ahli akademik dan perunding motivasi.

Pengalaman beliau serta hasil kajian yang beliau laksanakan telah mendorong beliau untuk menulis dan menghasilkan bahan penerbitan terutamanya buku ilmiah dan buku motivasi.

Beliau turut aktif menulis artikel dan rencana yang telah diterbitkan di pelbagai media massa.

Anugerah Buku Negara 2019 dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara diadakan bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang kini sedang berlangsung hingga 7 April 2019.