Skip to main content

Persatuan Alumni Universiti Teknikal Malaysia Melaka AUTeM dengan kerjasama Kelab Sukan Air UTeM (KLASKA) dan Pejabat Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan Program Kepimpinan From Zero to Hero bersama barisan kepimpinan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Temu, Melaka.

Program ini telah diadakan baru-baru ini bertempat di Tapak Pusat Ko-Kurikulum UTeM telah melibatkan seramai 120 orang pelajar yang terdiri daripada gabungan pengawas sekolah, pengawas perpustakaan dan koperasi.

Pengarah Pusat Pengurusan Alumni & Kebolehpasaran Graduan UTeM merangkap Timbalan Presiden AUTeM, Dr. Khairuddin Osman berkata, antara objektif program tersebut telah diadakan bertujuan melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang tinggi intelek, sahsiah, rohani dan jasmani.

Jelas beliau, program tersebut turut menerapkan budaya kesukarelawanan sebagai tulang belakang bagi para fasilitatior yang terdiri daripada kalangan ahli AUTeM yang berlatar belakangkan kerjaya yang berbeza.

Katanya, beberapa pengisian menarik telah diadakan sepanjang program berkenaan seperti slot Ice Breaking, Explorace Leadership, Roket Ukhwah serta slot Sharing is Caring.

"Terdapat juga slot explorace yang mana para peserta melakukan aktiviti di dalam air seperti kayak serta Water Confidence yang menarik perhatian dan minat yang tinggi dari peserta dengan kendalian jurulatih bersijil dari ahli kelab KLASKA," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat), Prof. Dr. Goh Ong Sing pula menyatakan bahawa penganjuran program ini mempamerkan keunikan tersendiri yang mana elemen teknikal dan inovasi diterapkan secara langsung kepada pelajar sekolah sewaktu program tersebut berlangsung.

Tambah beliau, program seumpama ini merupakan sebuah projek sukarelawan dari AUTeM untuk menyumbang semula tenaga, kepakaran dan masa kepada masyarakat setempat dalam membantu para peserta yang terlibat mencapai objektif yang dikehendaki di samping mempromosikan UTeM kepada masyarakat awam.