Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus konsisten dalam aspek membentuk mahasiswa berkaliber holistik serta berpakejkan kepimpinan strategik kini dan masa akan datang.
Selari dengan itu, UTeM menyambut baik rangka kerjasama strategik antara Axiata Foundation bagi perbincangan lanjut agenda kolaborasi kedua-dua buah organisasi ini bagi pembangunan mahasiswa menerusi University Leadership Development Programme (ULDP).
ULDP merupakan salah satu daripada tiga program utama yang ditawarkan di bawah program Axiata Young Talent Programme bagi melahirkan para pemimpin masa hadapan yang berkaliber dan berwawasan tinggi untuk menerajui pelbagai sektor kritikal yang terdapat di Malaysia.
Perbicangan ini diadakan antara pihak UTeM yang diketuai oleh Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib bersama delegasi Axiata Foundation yang diketuai oleh Dato’ Prof. Dr. Haji Ismail Haji Bakar telah diadakan di Pejabat Naib Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal Melaka baru-baru ini.
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, program yang ditawarkan mereka adalah bertujuan untuk memperkasakan kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa universiti awam yang terpilih.
Jelas beliau, ianya turut menyentuh aspek mahasiswa dalam mempelajari kemahiran dan pengetahuan kritikal yang diperlukan oleh pemimpin masa hadapan.
Menurut Dr Shahrin, delegasi lawatan turut dibawa bertemu para mahasiswa UTeM untuk melihat potensi yang akan dikembangkan menerusi program tersebut dengan sokongan daripada panel-panel yang dilantik oleh Axiata Foundation dan Alumni UTeM sendiri.
“Para mahasiswa yang terpilih akan menyertai kursus pendek selama dua minggu yang dianjurkan dan ditaja sepenuhnya oleh Axiata Foundation untuk dilatih menerusi sesi kepimpinan dan pengetahuan dari wakil syarikat terkemuka di Malaysia untuk melatih mereka menjadi pemimpin yang hebat bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada kepakaran luar”, ulas beliau lagi.