Skip to main content

Barisan penyelidik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya menghasilkan produk inovasi Tangan Bio Mekanik Cetakan 3D.

Produk inovasi ini adalah bagi membantu golongan yang mengalami kecacatan jari bagi memudahkan mereka menjalani kehidupan seharian dengan lebih sempurna.

Ketua Penyelidik, Ir. Dr. Mohd Farriz Basar berkata, penghasilan Tangan Bio Mekanik Cetakan 3D membuktikan barisan penyelidik UTeM serius dalam memperkasakan aktiviti penyelidikan berterusan dan memberi manfaat langsung kepada komuniti dan negara.

Jelas beliau, penghasilan produk ini juga turut menyerlahkan kebolehan dan pakaran barisan penyelidik universiti ini bagi memenuhi keperluan semasa selari dengan kemajuan zaman di peringkat global.

Tangan Bio Mekanik Cetakan 3D tersebut telah disumbangkan kepada adik Khairunnisa Umairah Mohd Sabri Pelajar tahun 2 Hasan Sekolah Rendah Islam (SRI) Annuriah Addiniah, Sungai Udang, Melaka yang telah mengalami kecacatan jari sejak lahir lagi.

Majlis penyerahan Tangan Bio Mekanik Cetakan 3D telah disempurnakan pada tahun lalu oleh Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FTKEE) Profesor Madya Ts. Mohd Rahimi Yusoff semasa Persidangan Antarabangsa Teknologi Kejuruteraan 2018.

Projek sumbangan Tangan Bio Mekanik Cetakan 3D ini merupakan kerjasama antara UTeM dan Sekolah Rendah Islam (SRI) Annuriah Addiniah.

Mohd Sabri yang merupakan bapa kepada Umairah yang berasal dari Bukit Rambai Melaka berkata, sumbangan Tangan Bio Mekanik Cetakan 3D telah berjaya memberikan sinar baru yang membawa keceriaan dan keyakinan diri buat anaknya apabila berhadapan dengan rakan-rakan sekolah.

Beliau juga turut merakamkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada pihak UTeM yang telah berjaya menghasilkan produk inovasi yang memberikan manfaat besar buat anaknya.

Sementara itu Pereka produk ini, Mohammad Rafi Omar menjelaskan Tangan Bio Mekanik Cetakan 3D adalah cetusan idea daripada sumber terbuka internet yang memudahkan rekabentuk idea produk ini dikongsi secara meluas di alam maya.

Katanya, rekabentuk tersebut telah dikongsikan kepada pasukan penyelidik UTeM bagi merekabentuk semula mengikut kesesuai saiz tangan adik Umairah.

Proses rekabentuk ini melibatkan pengaplikasian teknologi terkini yang terdapat di UTeM selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0

Antara teknologi terkini digunakan bagi mengimbas tangan Umaira adalah dengan menggunakan pengimbas 3D bagi mendapatkan saiz sebenar tangan.

Sementara itu bagi menguji kekuatan mengangkat beban Tangan Bio Mekanik Cetakan 3D pula adalah dengan menggunakan perisian simulasi.

Projek ini adalah hasil kerjasama dan gerak kerja dengan tujuh orang lagi penyelidik UTeM iaitu Muhammad Nur Othman, Arman Hadi Azahar, Shahrizan sultan, Rabani Abd Rashid, Mohd Khairil Zulkhaini, Zuraini Zachariah dan Zahirul  Za'im Samin.