Kontigen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah memberikan saingan hebat dalam Karnival Sukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Melaka dan membuahkan hasil membawa pulang 3 pingat baru-baru ini.
Ketiga-tiga pingat yang telah dirangkul oleh kontinjen UTeM dalam karnival sukan ini adalah 1 pingat perak menerusi acara ragbi dan 2 pingat gangsa menerusi acara badminton dan sepak takraw
Karnival Sukan IPT Melaka ini merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka melalui Unit Institusi Pengajian Tinggi, Jabatan Ketua Menteri Melaka dan IPT negeri ini.
Pada tahun ini menyaksikan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) telah menjadi tuan rumah temasya yang telah melibatkan penyertaan sebanyak kira-kira 46 buah IPT Awam dan Swasta di negeri Melaka yang mana sebanyak 5 acara utama telah dipertandingkan iaitu bola sepak 9 sebelah, sepak takraw, badminton, bola jaring dan ragbi.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd Manap berkata, kontingen UTeM telah mempamerkan aksi dan cabnaran hebat dalam Karnival Sukan IPT Melaka yang mana telah memasuki tahun ke-5 penganjurannnya.
Jelas beliau, menerusi temasya ini para atlet yang terlibat dengan pelbagai acara turut bersama menikmati perkongsian pengalaman, kemahiran serta pencapaian pasukan masing-masing sekaligus mewarnai kejohanan pada tahun ini.
Tambah beliau lagi, tidak dinafikan juga bahawa penganjuran karnival ini secara tidak langsung telah menjadi medan pertemuan bagi merapatkan hubungan pihak pengurusan IPTA dan IPTS serta Kerajaan Negeri Melaka terutamanya Unit IPT, TAPEM, Jabatan Ketua Menteri yang terlibat secara langsung dalam hal-hal yang melibatkan unit pengajian tinggi di negeri Melaka.